Pelajar dikena tindakan, penyedia terus kaut untung

LocalOpinion
24 Jul 2026 • 12:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelajar dikena tindakan, penyedia terus kaut untung

PETALING JAYA – Tawaran khidmat menyiapkan tugasan yang dipromosi secara terbuka di media sosial merupakan amalan tidak beretika yang boleh merosakkan integriti akademik, kredibiliti graduan dan reputasi institusi pengajian tinggi (IPT).

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Sri Rahayu Ismail berkata, trend itu bukan lagi melibatkan tugasan biasa, malah tesis bagi pelajar pascasiswazah.

Katanya, amalan itu jelas bercanggah dengan prinsip moral dan integriti akademik kerana tugasan yang sepatutnya disiapkan oleh pelajar diserahkan kepada pihak ketiga.

“Kalau dahulu kita bercakap soal plagiarisme, sekarang kita berdepan situasi lebih serius apabila keseluruhan tugasan di­siapkan oleh pihak lain.

“Pelajar sepatutnya membina kemahiran berfikir, menganalisis dan menulis sendiri, bukannya membeli hasil kerja orang lain,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau berpandangan kesa­lahan tidak wajar diberikan kepada pelajar semata-mata kerana terdapat faktor lain termasuk persekitaran akademik yang memberi tekanan terhadap pencapaian, budaya mengejar ranking universiti dan sasaran Graduate on Time yang turut menyumbang kepada permintaan perkhidmatan sedemikian.

Image from: Pelajar dikena tindakan, penyedia terus kaut untung
Dr. Sri Rahayu

Sri Rahayu menyifatkan fenomena itu sebagai manifestasi ‘kapitalisme dalam pendidikan’ apabila ilmu dilihat sebagai komoditi yang boleh dibeli untuk mendapat ijazah, kenaikan pangkat atau ganjaran tanpa melalui proses pembelajaran sebenar.

“Apabila mendapat ijazah sarjana atau doktor falsafah hasil kerja pihak ketiga, martabat ilmu itu sendiri telah jatuh. Untuk jangka panjang, negara akan me­lahirkan tenaga kerja yang tiada integriti dan kejujuran,” ujarnya.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau mencadangkan pepe­riksaan bertulis secara fizikal dikekalkan di samping memperbanyakkan tugasan berasaskan kerja lapangan, pembentangan dan sesi soal jawab secara mendalam bagi menguji kefahaman sebenar pelajar.

Katanya, ketika ini universiti mempunyai mekanisme untuk mengesan plagiarisme, namun penggunaan khidmat pihak ketiga masih sukar dibuktikan.

Beliau menggesa kerajaan mempertimbang penggubalan undang-undang lebih tegas terhadap syarikat atau penyedia perkhidmatan yang menawarkan khidmat itu seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain.

“Kalau hanya pelajar dikenakan tindakan, tetapi penyedia perkhidmatan terus bero­perasi dan mengaut keuntungan, masalah ini tidak akan selesai.

“Ia boleh menjadi barah kepada dunia pendidikan jika di­biarkan berterusan,” katanya.

The post Pelajar dikena tindakan, penyedia terus kaut untung appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved