
MERSING – Seorang pelajar GiatMara Mersing di sini ditemui lemas selepas motosikal Yamaha Y15 ditungganginya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Jemaluang di Jalan Sekakap malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.36 malam itu, mangsa, Ahmad Danish Zaquan Ahmad Yazir, 19, dipercayai gagal menyelamatkan diri dan situasi cemas itu disedari rakannya sebelum menghubungi talian kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bagi mengesan remaja terbabit.
Menurutnya, operasi itu membabitkan kekuatan 15 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Skudai.
Katanya, mangsa berjaya dijumpa pada jarak 100 meter dari lokasi terakhir dilihat kira-kira pukul 7.55 pagi tadi oleh pasukan PPDA bomba.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi berkenaan turut disertai 11 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk urusan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar GiatMara ditemui lemas, Y15 terjunam sungai appeared first on Kosmo Online.

