Pelajar IPT mesti mahir AI, tapi jangan lupa akhlak – Anwar

LocalPolitics
5 May 2025 • 9:41 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Dalam era kepesatan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) mesti bijak menyesuaikan diri dengan perubahan global, namun tidak sesekali melupakan asas nilai dan akhlak.

Menurut Anwar, kemajuan dalam bidang digital dan AI memang penting, tetapi ia perlu seiring dengan pembentukan jati diri berdasarkan nilai budaya, agama dan moral. Ini selaras dengan pendekatan Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara ilmu dan etika.

“Saya selalu sebut dalam pendidikan agar kita menggapai langit sama ada AI, digital dan yang canggih semua namun mesti berakar di bumi. Apa yang akar dibumi iaitu nilai, budaya, akidah dan akhlak. Jadi, apabila kedua-duanya terangkum barulah bangkit sahsiah Madani,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Anwar turut menzahirkan kebimbangan terhadap fenomena ketidaktentuan dunia masa kini yang disifatkan sebagai era ‘Postnormal’ — di mana nilai kebenaran dan keadilan menjadi semakin kabur.

“Terdapat defisit sekarang dengan kita memanggilnya masa Postnormal iaitu dunia menjadi huru-hara dengan pencangahan kebenaran dan keadilan menjadi relatif,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan para pelajar agar tidak leka dengan kecanggihan semata-mata, sebaliknya kembali kepada matlamat sebenar berada di menara gading.

“Itulah sebab mengapa kita harus kembali kepada isu asas mengapa anda berada di sini (IPT). Ingat anda bukan ‘sacred cow’ (seseorang atau sesuatu yang dianggap tidak boleh diganggu atau dipersoalkan) tetapi anda adalah manusia yang mempunyai nilai dan etika,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh keperluan segera untuk membangunkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang AI. Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi telah diarahkan untuk menyelaras usaha tersebut di peringkat universiti awam dan swasta.