Pelajar IPT tumpang rumah rakan ketika cuti semestar ditahan JAIM

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 11:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tindakan seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) menumpang di rumah rakan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat sehingga mendorong aduan dibuat kepada JAIM- Foto: Sumber JAIM.

MELAKA - Tindakan seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) menumpang di rumah rakan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat sehingga mendorong aduan dibuat kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk menjalankan pemeriksaan.

Rumah berkenaan didiami oleh seorang ibu tunggal berusia 45 tahun yang membenarkan anak perempuannya membawa rakan untuk tinggal bersama, sedangkan kediaman itu turut dihuni oleh anak lelakinya yang berusia lingkungan 20-an.

Pemeriksaan mendapati pelajar perempuan berusia 20 tahun itu bukan mahram kepada keluarga berkenaan.

Sumber penguat kuasa JAIM memaklumkan bahawa pelajar terbabit menumpang sementara di rumah rakannya sepanjang cuti semester berikutan menghadapi masalah keluarga di Alor Gajah.

Bagaimanapun, pegawai penguat kuasa JAIM yang menjalankan pemeriksaan menjelaskan bahawa kehadiran individu bukan mahram dalam satu rumah boleh menimbulkan fitnah dalam kalangan masyarakat.

“Kalau ahli keluarga tidak mengapa tetapi dalam kes ini terdapat individu bukan mahram tinggal bersama,” katanya ketika pemeriksaan dijalankan di sebuah pangsapuri di Peringgit sekitar jam 2 pagi pada Khamis lalu.

Tambah beliau, walaupun tiada sebarang kesalahan jenayah syariah seperti khalwat dapat dibuktikan, situasi tersebut tetap boleh menimbulkan persepsi negatif.

“Kita tidak menuduh berzina, tetapi keadaan sebegini boleh membuka ruang kepada fitnah,” ujarnya.

Pelajar berkenaan memaklumkan bahawa dia hanya menumpang sementara dan sebelum ini tinggal bersama seorang ‘mak cik’, namun tidak berada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan kerana berada di Seremban.

Namun begitu, penguat kuasa JAIM menegaskan bahawa tindakan pemeriksaan dilakukan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan berlakunya maksiat dan kemungkaran.

“Apabila nampak ruang yang boleh membawa kepada perkara tidak baik, sepatutnya dielakkan, bukan masuk juga seolah-olah mencampakkan diri ke lembah itu,” jelas pegawai tersebut.

Kesemua individu yang terlibat kemudiannya dibawa ke JAIM untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkhalwat yang menimbulkan syak serta Seksyen 34 enakmen yang sama kerana bersubahat.

View Original Article