
KUALA LUMPUR – Seorang pelajar kolej berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sebaya, dalam kejadian di Ketereh, Kelantan.
Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Hazim didakwa menyebabkan kematian Nurfisya Zulkifly, 19, antara jam 11.40 malam, 30 April hingga 12.20 tengah malam, 1 Mei lalu di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara sehingga 40 tahun jika tidak dikenakan hukuman mati.
Tertuduh juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Wan Azimah Yaacob, bersama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Alias Ibrahim.
Menerusi sidang sama, pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan untuk pengurusan kes bagi mendapatkan laporan forensik serta laporan pakar.
Kedua-dua laporan berkenaan diperlukan untuk melengkapkan siasatan.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula dan pengurusan kes. - Getaran, 12 Mei 2026





