
TAWAU - Seorang pelajar kolej berusia 18 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes dakwaan merogol seorang gadis bawah umur dalam kejadian yang dipercayai berlaku dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 23 Oktober itu dikeluarkan oleh Majistret Don Stiwin Malanjum selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Nurhafizah Hussin.
Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Siasatan bermula selepas seorang pegawai perubatan di Hospital Tawau membuat laporan polis susulan pemeriksaan terhadap gadis berusia 16 tahun itu pada 1 Oktober lalu.
Suspek ditahan kira-kira jam 11.15 malam semalam sebelum dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut. - Getaran, 20 Oktober 2026






