Pelajar Kolej Vokasional maut, rakan parah motosikal bertembung kereta

30 Jun 2025 • 11:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan di lokasi kejadian yang meragut nyawa seorang pelajar Kolej Vokasional Chenor. Foto ihsan PDRM

image is not available
Keadaan kereta yang remuk akibat kemalangan di KM27 Jalan Bera-Mayam pada Isnin. Foto ihsan PDRM

image is not available
Keadaan motosikal yang dinaiki mangsa bersama rakannya dalam kejadian tersebut. Foto ihsan PDRM

BERA - Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera parah selepas bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 27, Jalan Bera–Mayam di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang merupakan remaja Orang Asli, Safuan Sabri, 16, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya, Muhammad Luqman Fazel, 16, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kedua-dua remaja terbabit merupakan pelajar Kolej Vokasional Chenor.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Bera menghala ke Mayam.

**media[3184700]**

"Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Proton Saga FLX yang datang dari arah Mayam ke Bera.

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemboncengnya yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Bera untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

**media[3184700]**

Tambahnya, pemandu kereta seorang lelaki berusia 33 tahun bersama tiga penumpang iaitu isterinya berusia 35 tahun serta dua anak mereka masing-masing berusia satu dan enam tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Jelas beliau, siasatan lanjut sedang diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.