Pelajar MRSM buli rakan digantung sementara siasatan dijalankan – Asyraf Wajdi

LocalPolitics
7 Apr 2025 • 10:57 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terlibat dalam kes buli tular baru-baru ini akan digantung serta-merta bagi memberi laluan kepada siasatan menyeluruh, kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, keputusan menggantung pelajar sama ada bersalah atau tidak bersalah dibuat bagi memastikan proses siasatan oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) tidak terganggu.

“Saya sudah minta laporan penuh dikemukakan kepada MARA pusat. Kalau siasatan membuktikan kesalahan benar-benar berlaku, kita tidak akan berkompromi walau sehingga ke peringkat menyingkirkan pelajar,” katanya memetik laporan Bernama.

Mengulas lanjut, Asyraf menegaskan bahawa tindakan serta-merta tidak boleh diambil tanpa siasatan rapi, namun beliau yakin pihak pengurusan MRSM akan bertindak tegas dan telus.

Beliau turut mengingatkan bahawa MARA sentiasa berpendirian tegas dalam menangani budaya buli, sama ada secara fizikal atau mental, dan menekankan MRSM bukan hanya tempat melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi juga berakhlak mulia.

“Tiada guna pelajar cemerlang akademik tetapi tiada adab. Sebab itu saya selalu ingatkan: kamu sentuh, kamu pergi,” katanya lagi.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 32 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap serta menyebat seorang pelajar lain yang tertiarap di atas katil. Insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial.