Pelajar Praktikal UTAR Maut Dalam Letupan Di Universiti Swasta, Punca Masih Disiasat

13 Jan 2026 • 8:40 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Mangsa yang maut dalam kejadian letupan di sebuah universiti swasta di sini disahkan merupakan seorang pelajar praktikal dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sedang menjalani latihan industri bersama sebuah syarikat penyelenggaraan penyaman udara.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTAR, Prof Chang Yoong Choon berkata, mangsa dikenali sebagai Soo Yu Juan, 24, merupakan pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal dan dijadualkan menamatkan latihan industrinya pada Khamis ini.

Menurut beliau, latihan industri tersebut adalah keperluan wajib dalam pengajian kejuruteraan bagi memberi pendedahan kepada pelajar terhadap suasana kerja sebenar.

“Kejadian ini amat mengejutkan dan di luar jangkaan pihak universiti. Mangsa berada di lokasi kejadian bagi melaksanakan tugasan rutin berkaitan kerja penyelenggaraan penyaman udara,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

UTAR Sedia Bantuan Insurans, Urus Kebajikan Keluarga

Mengulas lanjut, Chang memaklumkan bahawa UTAR menyediakan perlindungan insurans kepada semua pelajarnya termasuk bagi insiden kemalangan yang berlaku semasa menjalani latihan industri.

Menurut laporan BERNAMA lagi, pihak universiti akan mengemukakan tuntutan insurans selepas semua dokumen berkaitan diperoleh, malah Chang sendiri akan mewakili UTAR bagi menguruskan kes berkenaan sehingga selesai sebagai tanda komitmen universiti terhadap kebajikan pelajar dan keluarga mangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa syarikat tempat mangsa menjalani latihan industri juga telah menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan serta bantuan, termasuk dalam urusan pengebumian.

Punca Letupan Masih Menunggu Hasil Siasatan

Dalam pada itu, Chang berkata punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan pihak universiti kini menunggu hasil siasatan rasmi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Tinjauan BERNAMA mendapati ibu serta abang mangsa hadir ke Jabatan Forensik HKL sekitar jam 6 petang bagi proses pengecaman jenazah.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan individu lain cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara yang berlaku di sebuah universiti swasta sekitar jam 11.40 pagi semalam. – The Malaysian Update

The post Pelajar Praktikal UTAR Maut Dalam Letupan Di Universiti Swasta, Punca Masih Disiasat appeared first on The Malaysian Update.