Pelajar PSMZA cipta sensasi di Formula Student Malaysia

LocalCars
12 Oct 2026 • 12:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelajar PSMZA cipta sensasi di Formula Student Malaysia

BERMULA daripada lakaran di atas kertas, sebelum kereta dipasang satu demi satu komponen dalam tempoh dua bulan. Usaha keras sekumpulan pelajar dan pensyarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, Terengganu itu akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Formula Student Malaysia 2026.

Pasukan Formula Racing Automotive Centre of Technology (FRATeC) PSMZA muncul juara keseluruhan bagi kategori 150cc (pembakaran dalaman) selepas merangkul gelaran Johan Statik dan Johan Dinamik pada pertandingan berlangsung di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Perak baru-baru ini.

Pensyarah pembimbing pasukan itu, Rosli Abdul Aziz berkata, kejayaan tersebut membuktikan pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal malah mampu bersaing dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain di peringkat kebangsaan.

Menurutnya, kereta lumba yang dipertandingkan dibina sepenuhnya oleh pasukan, bermula dari peringkat reka bentuk sehingga siap dalam tempoh kira-kira dua bulan.

“Setiap komponen perlu dirancang dan dipasang dengan teliti bagi memastikan kereta memenuhi spesifikasi pertandingan serta mampu memberikan prestasi terbaik ketika diuji di litar.

“Proses pembinaannya memerlukan komitmen tinggi daripada semua ahli pasukan kerana mereka perlu mengimbangi tugasan akademik dengan latihan serta kerja-kerja menghasilkan kenderaan tersebut,” katanya.

Tambahnya, Formula Student Malaysia merupakan pertandingan tahunan yang menghimpunkan pasukan daripada institusi pengajian tinggi seluruh negara bagi menguji keupayaan pelajar dalam mereka bentuk, membina dan mengendalikan kereta formula mengikut piawaian pertandingan.

Image from: Pelajar PSMZA cipta sensasi di Formula Student Malaysia
PROSES pemasangan kereta memerlukan komitmen tinggi daripada semua ahli pasukan.

Katanya, pada edisi kali ini, sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian dengan mempertandingkan kereta formula yang dibina sendiri, sekali gus menjadikan persaingan lebih sengit dan kompetitif.

Sementara itu, salah seorang ahli pasukan, Mohamad Aiman Danish Ab. Halim, 19, yang merupakan pelajar semester tiga Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PSMZA berkata, pengalaman membina kereta lumba dari peringkat awal memberikan pendedahan berharga yang sukar diperoleh menerusi pembelajaran di dalam bilik kuliah.

Katanya, sepanjang proses menghasilkan kereta berkenaan, mereka berdepan pelbagai cabaran terutama dalam memastikan setiap komponen berfungsi dengan baik serta menepati kehendak pertandingan.

“Kami perlu melakukan banyak percubaan dan penambahbaikan sebelum kereta ini benar-benar bersedia untuk diuji di litar.

“Kerjasama antara ahli pasukan serta tunjuk ajar pensyarah banyak membantu kami menyelesaikan setiap masalah yang timbul,” katanya.

Menurutnya, pengalaman menyertai pertandingan itu turut memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu kejuruteraan yang dipelajari, selain meningkatkan kemahiran dalam bidang reka bentuk, pembuatan dan penyelenggaraan automotif.

Tambahnya, kejayaan meraih gelaran juara keseluruhan menjadi motivasi kepada mereka untuk terus mempertingkatkan kualiti kereta formula yang dihasilkan pada masa akan datang.

The post Pelajar PSMZA cipta sensasi di Formula Student Malaysia appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved