
GUIZHOU, CHINA – Melangkah ke bumi Guizhou buat pertama kali, sembilan warga Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) membuka lembaran baharu apabila terpilih menyertai 2025 Guizhou-Malaysia Educational International Exchange Program yang berlangsung dari 15 hingga 21 Julai lalu di wilayah barat daya China itu.
Disertai lapan pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), seorang pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) dan seorang pensyarah, program ini membuka ruang pembelajaran unik apabila para peserta diberi peluang meneroka secara langsung dunia kejuruteraan dan teknologi di China sambil menghayati kekayaan budaya setempat.

Program berimpak tinggi ini merupakan hasil kerjasama antara Guizhou Communications Polytechnic University, Anshun Technical College dan beberapa institusi pendidikan tinggi dari Malaysia.
Ia dirangka khusus bagi memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Delegasi PSMZA yang terdiri daripada tujuh pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan menyertai pelbagai pengisian seperti lawatan ke pusat teknologi dan kejuruteraan, sesi pertukaran ilmu bersama pelajar serta tenaga pengajar tempatan, selain aktiviti kebudayaan yang memperkenalkan warisan unik masyarakat China.
Melalui pengalaman ini, para pelajar bukan sahaja berpeluang memahami aplikasi teknologi kejuruteraan terkini, malah turut diasah dari segi kefahaman budaya antarabangsa dan komunikasi rentas budaya, satu nilai tambah penting dalam pembentukan graduan berdaya saing.
Penyertaan PSMZA dalam program ini selaras dengan usaha kerajaan memperluas jangkauan antarabangsa TVET dan melahirkan tenaga mahir yang bersedia untuk mendepani cabaran industri global.

