Pelajar SMK Bukit Sawa pandu uji UAV

LocalTechnology
19 Aug 2026 • 11:17 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelajar SMK Bukit Sawa pandu uji UAV

Membina pesawat udara tanpa pemandu (UAV) bukan sekadar memasang komponen dan menerbangkan ke udara. Sebaliknya memerlukan ketelitian, kesabaran serta pemahaman terhadap sistem yang menggerakkan pesawat berkenaan.

Namun, cabaran itu tidak menghalang 35 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang, Terengganu untuk meneroka bidang berkenaan menerusi projek pembangunan

UAV bersama guru pembimbing dengan sembilan daripada mereka diberi peluang melakukan pandu uji pesawat tersebut di padang sekolah.

Lebih membanggakan, biarpun sebahagian daripada pelajar terbabit masih di tingkatan dua, namun sudah mampu mengendalikan UAV dan melakukan demonstrasi penerbangan di hadapan rakan-rakan serta tetamu yang hadir.

Pandu uji di padang sekolah itu menjadi pengalaman bermakna buat pelajar apabila kemahiran yang dipelajari dalam bidang aeroangkasa, avionik, pengaturcaraan dan sistem kawalan penerbangan diuji secara langsung.

Bagi salah seorang pelajar, Harith Danial Azhar, 17, pengalaman melakukan pandu uji UAV bukan sesuatu yang baharu kerana dia sudah beberapa kali mengendalikan pesawat tanpa pemandu itu sebelum ini.

Namun katanya, sesi pandu uji kali ini tetap membuatkannya sedikit gementar kerana perlu beraksi di hadapan pelajar lain serta tetamu yang hadir menyaksikan demonstrasi berkenaan.

“Walaupun sudah beberapa kali pandu uji sebelum ini, namun ini kali pertama saya rasa sedikit gementar sebab perlu menerbangkan UAV di hadapan pelajar lain dan tetamu.

“Namun alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan saya dapat mengawal UAV seperti yang dirancang.

“Pada penghujung penerbangan, saya perlu menggunakan kawalan secara manual, ia menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna untuk saya,” katanya.

Sementara itu, guru pembimbing Kelab Aeronautik SMK Bukit Sawa, Badrul Hisyam Zakaria berkata, sesi pandu uji berkenaan menjadi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari secara langsung dalam situasi sebenar.

Image from: Pelajar SMK Bukit Sawa pandu uji UAV
BEBERAPA pelajar membawa UAV untuk sesi pandu uji di padang SMK Bukit Sawa, Marang, Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, proses membangunkan UAV memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pelbagai aspek termasuk sistem avionik, pengaturcaraan serta kawalan penerbangan.

Katanya, pengalaman menerbangkan UAV sendiri juga dapat membina keyakinan pelajar untuk menyelesaikan masalah apabila berdepan situasi tidak dijangka.

“Apabila mengendalikan UAV sendiri, mereka belajar untuk membuat keputusan dan bertindak berdasarkan keadaan sebenar, bukan sekadar mengikut teori.

“Pandu uji seperti ini juga membolehkan mereka mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki dan memahami kelemahan sistem yang dibangunkan,” katanya.

Badrul Hisyam berkata, penglibatan sembilan pelajar itu memperlihatkan kesungguhan mereka meneroka bidang teknologi yang mungkin menjadi sebahagian daripada kerjaya mereka pada masa hadapan.

Katanya, pendedahan berkenaan penting kerana bidang aeroangkasa dan sistem tanpa pemandu memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik, malah memiliki kemahiran praktikal.

“Ini merupakan satu proses pembelajaran yang panjang. Kita mahu pelajar bukan sekadar tahu bagaimana UAV berfungsi, tetapi memahami proses di sebalik pembangunannya.

“Daripada mereka membina, menguji, membuat penambahbaikan sehinggalah menerbangkannya, semua itu adalah pengalaman yang sangat bernilai,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc), Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, syarikat itu memperuntukkan RM75,000 bagi menyokong pembangunan bakat pelajar SMK Bukit Sawa dalam bidang aeroangkasa, teknologi dan sistem tanpa pemandu.

Menurutnya, peruntukan berkenaan disalurkan menerusi dua fasa, dengan RM45,000 diberikan pada fasa pertama, sebelum tambahan RM30,000 disalurkan bermula bulan ini bagi fasa kedua.

“Kita melihat apa yang dilakukan oleh pelajar ini sebagai sesuatu yang membanggakan kerana mereka sudah mampu membangunkan dan mengendalikan sistem UAV.

“Kemampuan pelajar sekolah menguasai aspek berkaitan avionik, pengaturcaraan dan kawalan penerbangan pada usia muda menunjukkan potensi besar yang boleh dikembangkan pada masa depan,” katanya.

The post Pelajar SMK Bukit Sawa pandu uji UAV appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved