Pelajar tahfiz SMKA Kedah hebat reka cipta robot

LocalTechnology
7 Oct 2026 • 10:14 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelajar tahfiz SMKA Kedah  hebat reka cipta robot

DARIPADA hafazan al-Quran kepada robot pemadam kebakaran, lima pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah membuktikan usia muda dan ilmu agama bukan penghalang untuk mereka meneroka dunia teknologi dan inovasi.

Pada usia 14 tahun, mereka bukan sahaja menghafaz al-Quran sebagai sebahagian daripada pengajian di sekolah, malah turut membina sebuah robot pintar yang mampu mengesan kebakaran, menentukan lokasi sasaran dan melakukan pemadaman secara automatik.

Usaha itu membuahkan hasil apabila inovasi Smart AI Firebot: Redque-X berjaya meraih Pingat Emas dan Anugerah Khas Best of Young Inventor – Kategori Sekolah Menengah pada pameran SIRIM Invention, Innovation & Technology Expo (Si2TE) 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 24 September lalu di Advanced Materials Research Centre (AMREC), SIRIM Berhad, Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

Best of Young Inventor Award dalam SI2TE adalah anugerah khas yang diberikan kepada pelajar muda (kategori sekolah rendah atau sekolah menengah) yang menghasilkan ciptaan atau inovasi paling cemerlang.

Pencapaian berkenaan melibatkan U’mar Al Faruqi Mohd. Khairul Anwar, Amzar Ajmal Ahmad Rifdi, Qhairin Iman Shahrolisman, Ahmad Fawwaz Fakhrul Radhi dan Ahmad Ariffahmi Mohd. Shahron yang mengikuti program tahfiz di SMKA Kedah.

Dibimbing Guru Cemerlang SMKA Kedah merangkap penasihat projek iaitu Dr. Ismail Salleh, kelima-lima pelajar itu menghasilkan Redque-X dengan menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), kamera stereo tiga dimensi dan sistem penyemburan air automatik.

Robot itu mampu mengesan api menggunakan sistem AI, menentukan lokasi sasaran dan mengarahkan muncung penyembur air ke arah kebakaran sebelum melakukan pemadaman secara automatik.

Sebagai ciri sandaran, robot berkenaan turut mempunyai sistem kawalan manual menggunakan telefon pintar sekira pengesanan AI terganggu akibat asap tebal atau halangan penglihatan.

Bagi ketua pasukan, U’mar Al Faruqi Mohd. Khairul Anwar, projek itu memberikan pengalaman baharu apabila dia berpeluang mempelajari penggunaan AI, IoT dan robotik secara praktikal.

“Saya belajar bagaimana AI boleh digunakan untuk mengesan kebakaran dan bagaimana robot boleh menerima maklumat daripada sensor untuk bertindak.

“Saya juga belajar tentang robotik, cara sistem dikawal dan kepentingan bekerja sebagai satu pasukan.

“Apa yang paling menarik ialah kami dapat melihat sendiri teknologi yang kami pelajari digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.

Pengalaman menghasilkan Redque-X turut memberi peluang kepada pelajar memahami bagaimana teknologi yang dipelajari boleh diterapkan dalam pembangunan sesebuah produk, selain menguji sendiri sistem yang dibangunkan.

Sementara itu, Ahmad Ariffahmi Mohd. Shahron berkata, peluang membentangkan inovasi di hadapan juri dan pihak industri menjadi pengalaman yang sangat bermakna.

“Pada mulanya saya berasa gementar kerana perlu menerangkan robot yang kami bina kepada juri. Tetapi selepas beberapa kali membuat pembentangan, saya menjadi lebih yakin.

“Saya sangat teruja apabila dapat berkongsi inovasi kami dengan pihak industri dan melihat mereka berminat untuk mengetahui bagaimana robot ini berfungsi,” katanya.

Menurutnya, pengalaman menyertai pertandingan inovasi turut meningkatkan keyakinan, kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan selain memberi nilai tambah kepada penglibatan kokurikulum melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Menurut Dr. Ismail, projek itu merupakan sebahagian daripada pendekatan Huffaz Technocrat Outreach, program yang dibangunkannya bagi memberi pendedahan kepada pelajar tahfiz dalam bidang STEM, AI, IoT, robotik dan inovasi.

Katanya, program berkenaan memberi peluang kepada pelajar penghafaz al-Quran mengembangkan potensi dalam bidang teknologi menerusi pengalaman membina produk menyertai pertandingan, melakukan pembentangan serta berinteraksi secara langsung dengan pihak industri.

Image from: Pelajar tahfiz SMKA Kedah  hebat reka cipta robot
ROBOT pintar ini mampu mengesan kebakaran dan memadamnya.

“Kita mahu melahirkan huffaz mutadayyin yang juga teknokrat. Pelajar bukan sahaja menguasai hafazan al-Quran, tetapi turut mempunyai kemahiran dalam STEM, AI, IoT, robotik dan inovasi.

“Melalui Huffaz Technocrat Outreach, mereka dibawa keluar dari bilik darjah untuk mengalami sendiri dunia sebenar teknologi dan berani membentangkan hasil inovasi kepada pihak industri,” katanya.

Menurutnya, pendekatan berkenaan turut menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, khususnya dalam menyediakan murid dengan kemahiran dan kompetensi yang diperlukan bagi menghadapi perubahan teknologi serta keperluan masa depan.

“Lebih membanggakan, pelajar berusia 14 tahun ini bukan sekadar belajar mengenai teknologi daripada buku, tetapi mereka sendiri membina, menguji dan menerangkan teknologi yang dihasilkan kepada juri serta pihak industri seperti SIRIM dan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS).

“Ini pengalaman pembelajaran yang sukar diperoleh hanya di dalam bilik darjah,” katanya.

Selain Redque-X, satu lagi pasukan inovasi SMKA Kedah turut mencatat kejayaan apabila Breezy Balm berjaya memperoleh Pingat Perak (Silver Award) dengan bimbingan W. Nor Hadibah W. Mahmood, guru pembimbing pasukan inovasi SMKA Kedah.

Breezy Balm ialah balm penjagaan kesihatan berasaskan herba dengan chamomile sebagai bahan utama yang dibangunkan untuk membantu memberikan kelegaan terhadap ketidakselesaan pernafasan, hidung tersumbat dan iritasi ringan berkaitan faktor persekitaran seperti jerebu serta pencemaran udara.

Produk itu mengetengahkan formulasi berasaskan tumbuhan sebagai alternatif berasaskan bahan semula jadi, selain mudah digunakan dan dibawa untuk kegunaan harian.

Produk berkenaan juga telah dikomersialkan serta menerima pendaftaran hak cipta daripada MyIPO, sekali gus menunjukkan potensi dan keaslian inovasi tersebut.

W. Nor Hadibah berkata, penghasilan Breezy Balm memberi peluang kepada pelajar meneroka penggunaan bahan semula jadi dalam menghasilkan produk yang mempunyai nilai penggunaan serta potensi pasaran.

“Pelajar bukan sahaja belajar menghasilkan produk, tetapi turut didedahkan kepada proses penyelidikan, pembangunan produk, pembentangan dan pertandingan inovasi.

“Pengalaman ini membantu mereka membina keyakinan serta memahami bahawa idea yang dihasilkan melalui pembelajaran boleh dikembangkan menjadi sesuatu yang mempunyai nilai dan manfaat,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Ismail berkata, kejayaan dua pasukan itu bukan semata-mata tentang pingat yang dimenangi, sebaliknya pengalaman yang membentuk keyakinan dan kemahiran pelajar.

“Kita mahu pelajar melihat bahawa ilmu yang mereka pelajari boleh diterjemahkan kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Daripada menghafaz al-Quran, mereka belajar membina robot. Daripada bilik darjah, mereka pergi ke makmal dan pertandingan.

“Kemudian mereka berdiri di hadapan juri dan industri untuk mempertahankan idea mereka sendiri.

“Itulah semangat ‘Huffaz Technocrat’ dengan al-Quran sebagai asas, teknologi sebagai kemahiran dan inovasi sebagai medan untuk mereka menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Kejayaan Redque-X dengan Pingat Emas dan Anugerah Khas Best of Young Inventor Kategori Sekolah Menengah serta Breezy Balm dengan Silver Award, memperlihatkan usaha SMKA Kedah memperluas pengalaman pembelajaran pelajar melalui gabungan tahfiz, STEM, AI, IoT, robotik dan inovasi.

Bagi lima pelajar tingkatan dua yang menghasilkan Redque-X, kejayaan di Si2TE 2026 bukan sahaja membawa pulang pengiktirafan dalam kategori sekolah menengah, malah memberi mereka pengalaman membina, menguji dan membentangkan hasil inovasi sendiri di hadapan juri serta pihak industri.

Daripada hafazan al-Quran kepada teknologi AI, pengalaman pelajar SMKA Kedah itu memperlihatkan bagaimana pembelajaran di sekolah turut dapat diterjemahkan melalui penghasilan produk, pertandingan inovasi, pembentangan dan pendedahan kepada dunia teknologi.

The post Pelajar tahfiz SMKA Kedah hebat reka cipta robot appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved