Pelajar Terengganu Terjejas Banjir Diberi Kelonggaran, Berpakaian Biasa Hadir Ke Sekolah

30 Dec 2023 • 3:30 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pelajar terjejas akibat banjir di negeri Terengganu diberikan kelonggaran untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa apabila sesi persekolahan bermula Selasa ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) yang memberi kelonggaran kepada para pelajar terjejas.

Timbalan Pengarah JPNT (Sekotor Pengurusan Sekolah), Azman Othman @Abdullah berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi mangsa banjir.

image is not available

Oleh itu, pihaknya akan berusaha untuk meringankan beban yang ditanggung mereka dalam memastikan para pelajar tetap hadir ke sekolah buat sementara waktu.

Tambahnya, para pelajar terutama ibu bapa juga tidak perlu bimbang sekiranya buku teks juga musnah akibat banjir tersebut.

“Saya ingin berpesan kepada mana-mana murid yang terkesan dengan banjir supaya hadir ke sekolah walaupun dalam keadaan berpakaian biasa sekiranya pakaian mereka musnah semasa banjir.

“Begitu juga jika alat tulis atau buku rosak, mereka tidak perlu bimbang… cuma hadir ke sekolah. Sekiranya buku teks musnah boleh lapor kepada guru kelas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

image is not available

Kredit Foto: BERNAMA

Azman berkata, operasi pembersihan sekolah yang terjejas banjir sedang giat dijalankan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing dengan bantuan komuniti setempat.

Dedah beliau, sebanyak 32 buah sekolah terutama di daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Setiu terjejas akibat banjir gelombang ketiga yang bermula 24 Disember lalu.

Selain itu, lima lagi sekolah masih beroperasi sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Ia termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau; SK Tanjung Pati; SK Padang Pulut; SK Delong di Dungun dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang.

Menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, keadaan banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya dengan hanya 733 mangsa daripada 198 keluarga masih berasa di 13 buah PPS di daerah Marang, Kuala Nerus dan Dungun, setajat jam 10 pagi tadi.

Sumber: BH Online (BERNAMA)