Pelajar Tingkatan 1 dicekik rakan, berebut tempat duduk kantin

19 Jun 2026 • 3:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar Tingkatan 1 dicekik rakan, berebut tempat duduk kantin
Mohd Rosdi

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar Tingkatan 1 dicekik rakannya gara-gara perselisihan faham berkaitan tempat duduk di kantin sebuah sekolah di Cheras pada April lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian gangguan fizikal melibatkan dua pelajar lelaki pada 16 April lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati insiden berlaku di hadapan koperasi sekolah dan berpunca daripada perselisihan faham mengenai tempat duduk di kantin antara mangsa dengan suspek yang juga pelajar Tingkatan 1.

"Suspek bertindak mencekik leher mangsa dari arah belakang selain melakukan provokasi secara lisan terhadap mangsa.

"Susulan kejadian itu, mangsa dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk mendapatkan rawatan pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rosdi berkata, pihak sekolah telah mengambil tindakan terhadap suspek selepas satu mesyuarat jawatankuasa melibatkan polis, pihak sekolah dan penjaga diadakan pada 20 April lalu.

"Suspek telah dikenakan hukuman amaran serta digantung sekolah oleh pihak pengurusan sekolah.

"Polis menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menyerahkan sepenuhnya kes kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya.