Pelajar Tingkatan 1 Maut Dirempuh SUV Ketika Pakai Kasut Depan Surau Sekolah

Local
12 Apr 2026 • 7:07 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau sebuah sekolah dalam kejadian pada Ahad.

Meninggal di lokasi kejadian

Memetik laporan daripada Sinar Harian, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam insiden kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Abang mangsa, Muhammad Ali Mustaqim, 15, berkata dia dimaklumkan kejadian itu berlaku sejurus adiknya selesai menunaikan solat Zohor.

“Saya berada di luar sekolah sambil menunggu rakan untuk pulang bersama.
“Kemudian ada rakan datang beritahu adik dilanggar sebuah kereta di depan surau sekolah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia pada Ahad.

Image from: Pelajar Tingkatan 1 Maut Dirempuh SUV Ketika Pakai Kasut Depan Surau Sekolah

Kereta merempuh mangsa diparkir di hadapan surau

Menurutnya, dia terus mendapatkan adiknya dan memeluk jenazah yang ketika itu berada di tangga surau.

Ujarnya, dia dimaklumkan kereta yang melanggar adiknya diparkir di hadapan surau tersebut.

Image from: Pelajar Tingkatan 1 Maut Dirempuh SUV Ketika Pakai Kasut Depan Surau Sekolah

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Azaudin Abdullah, 43, memaklumkan dia menerima panggilan daripada adik iparnya ketika berada di tempat kerja sebelum bergegas ke sekolah.

“Tiba di sana saya melihat anak sudah terbaring kaku dan ditempatkan di surau. Ketika itu saya sangat terkejut dan tergamam melihat jenazah anak,” katanya.
Image from: Pelajar Tingkatan 1 Maut Dirempuh SUV Ketika Pakai Kasut Depan Surau Sekolah

Kredit foto: Harian Metro

Menurutnya, pihak sekolah hanya memaklumkan anaknya telah meninggal dunia tanpa penjelasan lanjut mengenai kejadian tersebut.

“Namun, tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah berhubung kejadian lanjut termasuk siapa yang melanggar anak saya.
“Arwah ialah anak ketiga dan kesemua anak saya tinggal bersama adik ipar selepas kematian isteri sejak lima tahun lalu,” katanya.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Mas selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Azmir Damiri mengesahkan kejadian tersebut.

Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)

The post Pelajar Tingkatan 1 Maut Dirempuh SUV Ketika Pakai Kasut Depan Surau Sekolah appeared first on Borak Daily.

View Original Article