Pelajar Tingkatan 3 keluar rumah, tinggal sepucuk surat

17 Feb 2025 • 2:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kehilangan Nur Damia ditularkan di media sosial.

SENAWANG - Seorang pelajar Tingkatan Tiga, Nur Damia Maisara, 15, sempat meninggalkan sepucuk surat sebelum bertindak keluar rumah di Taman Cempaka di sini pada pagi Isnin.

Ibunya, Nur Nasha Fika Mohd Nani, 35, berkata, kali terakhir anaknya ditemui sekitar jam 5 pagi tadi ketika mahu mengejutkan Nur Damia untuk bersiap ke sekolah, memandangkan hari ini merupakan hari pertama sesi persekolahan.

Menurutnya, anak tunggalnya itu disedari hilang sekitar jam 6 pagi selepas dia tiada di dalam bilik selain pintu rumah dalam keadaan terbuka.

"Lepas kejutkan dia, saya terlelap kejap dan apabila bangun semula saya tengok pintu rumah dan pintu pagar dalam keadaan terbuka.

"Kemudian saya cari dia di dalam bilik... di bilik air pun tak ada. Kemudian saya nampak ada sepucuk nota ditinggalkannya.

"Itu yang saya tahu dia dah keluar rumah, tiada unsur jenayah atau ikut sesiapa, dia memang dengan saya saja sebelum ini, tak ada dengan sesiapa," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menerusi surat ditinggalkan itu, Nur Damia memohon maaf kepada ibu serta neneknya yang dipanggil Makwan kerana mengambil keputusan untuk keluar rumah.

Remaja itu memberitahu mengambil keputusan tersebut kerana tidak mahu menyusahkan mereka.

Nur Damia meminta ibu serta Makwan supaya tidak perlu risau keadaannya yang berada dalam keadaan baik.

Dia juga meminta keluarganya untuk tidak menyalahkan diri atas keputusan yang diambil.

Selain itu, Nur Damia memberitahu tetap menghargai jasa ibu serta nenek walaupun tidak sempat memeluk mereka sebelum menghilangkan diri.

Sementara itu Nur Nasha Fika berkata, dia memohon Nur Damia untuk pulang dan menegaskan anaknya itu tidak pernah menyusahkannya.

"Adik tak ada menyusahkan mama dan Makwan. Baliklah, " katanya.

Terdahulu, kehilangan remaja berkenaan ditularkan di media sosial.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat keluarga mangsa dan kali terakhir Nur Damia ditemui memakai sweater hitam.

Dikatakan Nur Damia turut membawa telefon bimbit namun nombornya tidak dapat dihubungi.

Sementara itu, menerusi kemas kini terbaharu, ibunya memaklumkan pihak polis telah menghubunginya memaklumkan anaknya telah ditemui dan berada di Balai Polis Paroi, Seremban.