
KUANTAN – Diserkup dengan tuala sebelum ditampar, ditendang, dicubit sehingga lebam, dicakar, dipukul dengan penyapu dan ditumbuk di bahagian perut sehingga terbaring kesakitan.
Itu antara dakwaan seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah agama di Rompin yang dikatakan dibuli di asrama oleh pelajar senior sekolah berkenaan.
Lebih memeranjatkan apabila perbuatan itu didakwa menjadi amalan pelajar senior di sekolah berkenaan untuk menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pelajar yang dikatakan melakukan kesalahan disipilin sekolah atau sebagainya.
Difahamkan, pelajar yang menjadi mangsa berasa takut untuk mengadu kepada ibu bapa dan guru kerana bimbang dikenakan tindakan lebih teruk lagi oleh kumpulan pelajar tingkatan lima dan tingkatan empat.
Ibu mangsa, Siti Rohani Yusof, 40, berkata, kejadian terbaharu pada 11 dan 16 September itu membuatkan anaknya kini trauma dan dia berasa sedih mengenangkan nasib anaknya.
Katanya, susulan itu juga dia membuat keputusan untuk membawa anaknya pulang ke rumah dan berpindah ke sekolah lain memandangkan dia berasakan anaknya tidak lagi selamat di sekolah berkenaan.
“Saya kecewa dengan pentadbiran sekolah terutama warden yang tidak mengambil tindakan segera termasuk membawa anak saya mendapatkan rawatan.
“Pada malam kali kedua anak saya kena pukul, ketika bapanya menelefon, warden cakap kami tidak perlu datang ke sekolah kerana tiada apa-apa dan sudah memanggil pelajar terbabit,” katanya di rumahnya di Perumahan Bukit Rangin Perdana, di sini, hari ini.
Menceritakan kejadian itu Siti Rohani berkata, berdasarkan cerita daripada mangsa, anaknya dan seorang lagi mangsa dipanggil ke bilik asrama senior berkenaan pada tengah malam kerana melakukan kesalahan keluar asrama untuk membeli makanan.
Katanya anaknya kemudian ditelekup muka dengan tuala sebelum dipukul oleh kira-kira lima pelajar tingkatan lima dan empat sebelum mangsa terbaring kesakitan.
Tambah Siti Rohani anaknya kemudian dipanggil lagi lima hari kemudian dan dipukul kerana mereka mendakwa anaknya memberitahu mengenai kejadian pertama kepada guru.
“Anak saya hanya memaklumkan sakit kepada kawan perempuan, sebelum kawannya memaklumkan kepada guru wanita mengenai kejadian itu. selepas kali kedua dipukul baru dia memaklumkan kepada saya melalui telefon awam.
“Selepas itu saya memasukkan isu ini ke dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa dan baru satu demi satu ibu bapa memaklumkan anak mereka turut menjadi mangsa dan mereka mahu membuat laporan polis, difahamkan ada 16 lagi mangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, susulan aduan daripada dua mangsa, polis telah tiga pelajar tingkatan lima dan dua lagi pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan untuk siasatan lanjut.
Katanya, kesemua suspek telah ditahan sebelum diberikan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, berdasarkan siasatan awal mendapati, mangsa pertama mengalami kecederaan di kedua-dua tangan manakala mangsa kedua mengalami kecederaan di bahagian badan.
“Berdasarkan siasatan awal punca kejadian, mangsa dikatakan ponteng kuliah agama dan mangsa kedua bersubahat dengan mangsa pertama, seterusnya kedua-dua mangsa dipukul oleh suspek,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar trauma didakwa dipukul, ditendang lima senior appeared first on Kosmo Online.




