Pelajar UM, Nawal Shahirah sudah ditemui, jalani rawatan psikiatri

LocalHealth & Fitness
2 Feb 2026 • 10:02 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pelajar Universiti Malaya (UM), Nawal Shahirah Mohd Jamil, 23, yang dilaporkan hilang sejak minggu lalu, ditemui dalam keadaan selamat.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shamsudin Mamat, Nawal Shahirah didapati sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jelasnya, Nawal hadir sendiri ke HKL bagi mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke hospital pada 28 Januari lalu.

“Hasil semakan polis bersama Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati orang hilang (OH) disahkan sedang menerima rawatan psikiatri di hospital berkenaan.

“Keadaannya dilaporkan baik dan kini ditempatkan di wad bagi tujuan pemerhatian kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan ringkas malam tadi.

Shamsudin berkata, siasatan awal mendapati Nawal dipercayai mengalami tekanan perasaan susulan kematian ibunya.

Sementara itu, satu hantaran Instagram oleh Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) turut mengesahkan bahawa Nawal Shahirah telah ditemui dan berada dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun, hantaran tersebut memaklumkan bahawa beliau telah memohon agar privasinya dihormati buat masa ini.

Terdahulu, Nawal dilaporkan hilang sejak Selasa lalu selepas tidak pulang ke rumah sejak kali terakhir dilihat di sebuah kondominium di Seksyen 14, Petaling Jaya.

Nawal adalah pelajar Tahun Tiga Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di UM. - 2 Februari, 2026

The post Pelajar UM, Nawal Shahirah sudah ditemui, jalani rawatan psikiatri appeared first on Scoop.