Pelajar Wajar Diberi Hak Kebebasan Bersuara - Anwar

LocalPolitics
11 Jun 2023 • 6:54 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar (tengah) bergambar bersama para hadirin pada Program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini. - Gambar Bernama

GEORGETOWN - Universiti harus menjadi tempat di mana pelajar boleh berekspresi secara bebas tanpa suara mereka disekat oleh mana-mana pihak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau mahu melihat perubahan terbabit di peringkat universiti, di mana anak muda boleh berkembang maju menerusi kebebasan bersuara.

“Universiti mesti menjadi tempat untuk pelajar menuntut ilmu dalam persekitaran yang membolehkan mereka berfikir dan berkembang secara intelek. 

“Apabila bawa buku barulah nampak masuk akal sikit,” katanya ketika berucap di hadapan 5,000 pelajar dan kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Anwar berkata, akses kepada pendidikan berkualiti juga bermaksud membenarkan golongan muda bebas menyuarakan pandangan dan berkongsi idea, tanpa bimbang dikenakan sebarang tindakan.

Katanya, pelajar universiti seharusnya menjadi 'suara nurani kepada majoriti'.

Menjawab soalan seorang pelajar supaya mewujudkan semula 'Speaker Corner', Perdana Menteri bersetuju supaya platform pernah menjadi sudut penting gerakan pelajar pada 1970-an disertainya itu, dikembalikan.

“Naib Canselor, tolong ambil perhatian,” katanya sambil tersenyum.

Sesi di USM itu adalah sebahagian daripada siri ‘town hall’ Temu Anwar yang menyaksikan Perdana Menteri menjelajah negara bertemu rakyat membabitkan pelbagai latar belakang. - The Vibes, 11 Jun 2023