
Pelakon Iedil Dzuhrie Alaudin mengingatkan semua pelakon agar mengambil serius perjanjian dan kontrak yang telah ditandatangani apalagi jika ia berkaitan dengan isu keselamatan di set penggambaran.
Menurut Iedil, ada pengarah yang cenderung meminta pelakon melakukan aksi stunt sendiri bagi mengelakkan proses rakaman dilakukan berkali-kali.
“Memang sebenarnya aksi stunt lebih bagus jika pelakon sendiri yang buat. Ini kerana tidak perlulah pengarah melakukan rakaman berkali-kali. Namun begitu, jika pelakon tidak bersedia, pengarah tidak perlu diteruskan.
“Jika pelakon tidak bersedia, jangan buat. Ini kerana babak yang melibatkan stunt ini hanya boleh dibuat dengan latihan yang cukup.
“Sebab itu penting untuk pelakon tengok semula kontrak. Segala insurans jika berlaku kemalangan,” katanya kepada Getaran di majlis pelancaran drama Ijab Kabut, sebentar tadi.
Bukan itu sahaja, pelakon The Assistant itu juga merasakan adalah tidak wajar untuk mana-mana pengarah bersikap lepas tangan jika berlaku kecederaan kepada pelakon di set penggambaran.
“Pengarah perlu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di set. Jika pengarah lepas tangan, itu salah. Sebab mereka yang sediakan lapangan untuk pelakon, maka mereka juga perlu menjaga kebajikan pelakon.
“Saya dahulu sebelum masuk berlakon adegan aksi buat latihan selama sebulan. Jika tidak lakukan persediaan yang cukup, memang akan mengundang kecederaan,” katanya lagi.
Terdahulu, seorang pelakon Wafariena Roslan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan setelah mengalami kecederaan akibat dipaksa melakukan stunt untuk sebuah drama.
Dia mendakwa, pengarahnya bersikap berdiam diri tanpa mengambil peduli mengenai kesakitan yang dialaminya. - Getaran, 12 Oktober 2022

