Pelakon Along Eyzendy Meninggal Dunia, Hembus Nafas Terakhir Jam 12.16 Pagi

LocalEntertainment
8 Feb 2026 • 2:27 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

SERDANG – Dunia seni tanah air dikejutkan dengan pemergian pelakon berpengalaman, Along Eyzendy, 47, yang dilaporkan meninggal dunia pada jam 12.16 pagi tadi selepas beberapa hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang.

Berita duka itu dikongsikan pelakon, Azhar Sulaiman menerusi hantaran di Facebook awal pagi tadi.

Menurutnya, beliau bersama Namron merupakan antara rakan artis terakhir yang sempat menziarahi Allahyarham di hospital.

“Pelakon Along Eyzendy telah selamat pulang ke rahmatullah sebentar tadi, 12.16 pagi.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah serta menempatkan beliau bersama orang-orang beriman.

Salam takziah buat isteri, anak-anak serta seluruh keluarga,” tulisnya.

Ditidurkan selepas pendarahan serius

Terdahulu, Allahyarham dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sebelum ditidurkan selepas mengalami pendarahan serius dalam perut.

Isterinya, Hamidah Mohd Yatim memaklumkan keputusan itu dibuat atas nasihat doktor bagi menstabilkan keadaan kesihatan beliau.

Along sebelum ini dimasukkan ke wad akibat demam dan batuk berpanjangan sebelum doktor mengesan kemungkinan jangkitan pada stent di saluran hempedu.

Rakan artis sempat ziarah

Sementara itu, pelakon dan pengarah, Raja Azrey berkata beliau sempat meluangkan masa menziarahi arwah bersama rakan-rakan artis petang semalam.

Katanya, Allahyarham dilihat mengalirkan air mata ketika mereka memberikan kata-kata semangat.

“Dari jam 1 tengah hari hingga 6 petang kami ada bersama arwah. Saya sempat bercakap dengannya dan nampak mata arwah menangis,” katanya.

Menurut laporan Harian Metro, Azrey turut mendedahkan mereka pernah bekerjasama dalam projek teater di Melaka pada Disember lalu, namun arwah ketika itu sudah menunjukkan tanda-tanda kurang sihat.

Menurutnya, Along memilih untuk tidak berkongsi keadaan sebenar kerana tidak mahu menyusahkan rakan-rakan.

Hasrat buat tuntutan PERKESO

Tambah Azrey, masalah kesihatan Allahyarham dipercayai berpunca daripada penyakit berkaitan hempedu dan beliau sebelum ini pernah berhasrat membuat tuntutan PERKESO bagi meneruskan rawatan.

Difahamkan, jenazah Allahyarham berkemungkinan akan dikebumikan di Pasir Gudang, Johor.

Salam takziah buat seluruh keluarga. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarga diberikan kekuatan menghadapi ujian kehilangan ini. Al-Fatihah. – The Malaysian Update

The post Pelakon Along Eyzendy Meninggal Dunia, Hembus Nafas Terakhir Jam 12.16 Pagi appeared first on The Malaysian Update.