
Apa sahaja yang dilakukan, tanggungjawab juga adalah utama. Tidak kira apa profesion sekali pun. Bila baru mentah sudah tunjuk perangai, reputasi pasti akan menjunam. Lebih-lebih lagi bila terlibat dalam ‘industri’.
Semua memerhati dan semua akan menghakimi. Bukan untuk memberitahu pelakon-pelakon generasi sekarang terlalu manja, tetapi masalah ini sudah berakar dari dulu lagi.
Bertemu dengan pelakon Namron atau Shahili Abdan, 57, dia juga berkongsi perkara yang sama. Malah, pelakon yang juga pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik FFM29 ini turut menyifatkan pelakon yang sengaja datang lambat hanyalah untuk populariti.
“Saya memang tidak boleh terima. Sebab itu adalah tanggungjawab semua pelakon. Berlakon itu kerja dan kerjaya kita.
“Bagi saya secara personal, pelakon-pelakon sebegini sebenarnya tidak ada minat pun untuk berlakon. Berlakon ini bukan minat mereka. Itu pendapat saya.
“Mereka buat sedemikian mungkin sebab duit atau populariti. Kalau dia betul-betul mencintai bidang lakonan dia mesti tahu pukul berapa datang ke set dan seumpamanya.
“Banyak lagi kerja lain yang boleh dapat duit lebih besar dan banyak cara lain untuk jadi terkenal menerusi media sosial sekarang tanpa perlu jadi pelakon. Jadi lupakan sahajalah niat itu sebab nanti hanya menyusahkan ramai orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namron berkata, tindakan pelakon datang lambat ke set penggambaran bukan disebabkan terlalu dimanjakan tetapi sebenarnya ia datang dari diri pelakon itu sendiri.
“Bagi saya, ini bukan soal industri atau mana-mana pihak terlalu memanjakan pelakon-pelakon baharu sekarang. Benda ini sebenarnya datang daripada diri mereka sendiri yang tidak tahu tanggungjawab.
“Kalau pelakon itu betul-betul hormat pada kerjaya dia, dia takkan bagi alasan atau salahkan orang lain. Semua ini balik kepada sikap dan kualiti pelakon itu sendiri masa bekerja,” ujarnya.
Dilayangkan soalan sama ada pernah atau tidak berhadapan dengan pelakon sebegini, Namron mendedahkan pernah. Tetapi, situasi itu sudah lama berlaku.
“Saya pernah berhadapan dengan seorang pelakon baharu yang sepatutnya mula penggambaran awal pagi tetapi dia sampai sekitar pukul 11 atau 12 tengah hari. Sudahlah datang lambat, dia boleh santai baca surat khabar dan makan sarapan dulu tanpa ada rasa bersalah atau minta maaf.
“Kalau lewat sebab ada kecemasan, kita masih boleh faham. Tapi kalau bagi alasan sebab terlajak tidur atau tidak boleh bangun pagi, benda itu memang langsung tidak boleh diterima,” katanya.
Sempat bercerita, Namron mendedahkan ketika dia hangat menjadi hero dahulu, terdapat satu kes saman-menyaman terhadap pelakon yang dikatakan tidak mengikut kontrak.
“Zaman saya berlakon dulu, pengarah agak keras dan ada yang sampai memaki pelakon atau ambil tindakan saman sebab tidak ikut kontrak. Benda ini tak wajar berlaku sebab bila kita lambat, ia akan mengganggu semua orang dan pelakon yang datang tepat pada waktunya pun boleh akan marah.
“Soal hormat atau tidak itu bagi saya tidak penting, tetapi yang utama adalah komitmen untuk buat kerja dengan betul. Kalau tiada minat dan buat kerja semata-mata kerana duit atau mahu terkenal, lupakan sahaja niat jadi pelakon dan cari kerja lain.
“Sebab ia hanya akan menyusahkan ramai orang terutamanya kru penggambaran yang terpaksa bekerja sampai ke pagi. Padahal orang lain sudah datang awal sejak dari pagi lagi semata-mata mahu menunggu dia yang sampai tengah hari,” katanya.
The post Pelakon datang lambat ke set, saya tidak boleh terima – Namron appeared first on Utusan Malaysia.






