Pelakon Iqbal Mazlan hilang daya penglihatan dan kini hilang mata pencarian sehinga terpaksa menjual barangan peribadi demi menyara hidupnya.
Memetik laporan Harian Metro, juara musim pertama program pencarian bakat, Pilih Kasih ketika ini hanya mampu melihat biasan cahaya pada mata.
Semua itu berlaku sejak daya penglihatan hilang secara mengejut akibat jangkitan virus pada 5 Mac tahun lalu.

Pelakon Iqbal Mazlan hilang daya penglihatan, rayu bantuan
Iqbal Mazlan mendakwa rayuannya mendapatkan bantuan daripada beberapa organisasi berkaitan seni bagaikan tidak diendah selepas dua tahun hilang deria penglihatan hampir sepenuhnya.
Pelakon berusia 34 tahun itu juga mendakwa dirinya seolah-olah disisahkan dalam soal bantuan kepada artis yang berdepan masalah kesihatan dan hilang mata pencarian.
“Apakah saya tidak popular hingga sukar dapat bantuan biarpun sudah buat permohonan?”
Saya mengharapkan bantuan sementara. Sekarang saya ambil tiga rawatan berbeza, jadi, kos agak mahal. Kalau hendak bekerja semula, saya perlukan deria penglihatan,”katanya.

Dia juga menyatakan harapan agar mana-mana persatuan seni atau sesiapa sahaja sudi membantunya daripada segi kos rawatan kerana sudah lebih setahun tidak mempunyai gaji.
“Saya sangat berharap kalau ada yang boleh bantu. Sejak tahun lalu, beberapa yayasan yang saya mohon untuk dapatkan bantuan, semuanya senyap. Mengapa saya macam disisihkan?
“Mesej yang dihantar kepada yayasan itu pun diabaikan. Tahulah saya ini tidak popular sangat, tetapi janganlah sampai abaikan.
“Saya bukan hendak minta bantuan sampai lebih RM100,000, tetapi sekadar yang mereka boleh beri sahaja,” katanya.
Terpaksa jual barangan peribadi
Dia yang juga membesarkan seorang anak angkat lelaki berusia 13 tahun mendakwa dirinya terpaksa menjual barangan peribadi seperti kereta demi menyara hidup.
Iqbal bagaimanapun memberitahu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menghubunginya untuk menawarkan bantuan dan sedang menanti perkembangan lanjut mengenai perkara itu.
“Kereta sudah dipulangkan kepada bank dan barangan peribadi lain yang saya usaha beli dahulu, sudah dijual.
“Telefon bimbit yang digunakan ini pun tunggu masa sahaja hendak rosak. Sekarang, saya tidak boleh buat apa-apa.
“Kalau dahulu boleh buat kerja sambilan untuk cari duit poket, tetapi, sekarang duduk rumah sahaja,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penglihatan Iqbal kabur secara tiba-tiba selepas bangun daripada tidur hingga dirawat di Hospital Shah Alam, Selangor.
Iqbal mendakwa daya penglihatan hilang dalam tempoh dua hari dan doktor mengesahkan keadaan itu berpunca jangkitan virus yang terus menyerang mata.
Malah, doktor menyifatkan kes berkenaan jarang berlaku dan melakukan pemeriksaan terperinci terhadap masalah dialaminya.
Dalam perkembangan lain, Iqbal menyatakan keadaan matanya masih sama, namun pergerakannya terbatas dan hanya boleh duduk di rumah bersama keluarga sahaja.
Dedahnya, dia ada membuat rawatan terapi Cina di Petaling Jaya pada setiap minggu dengan anggaran kos rawatan kira-kira RM200.
“Selain itu, saya sedang berusaha dengan rawatan Islam, tetapi, ustaz yang merawat minta untuk tidak berkongsi lagi soal itu,”ujar Iqbal Mazlan.

Sumber: Harian Metro (Affan Rostam)
