
KUALA LUMPUR – Pelakon Nadiah Kasumawati, atau lebih dikenali sebagai Nadia Kesuma, disahkan telah menghembuskan nafas terakhir pada Khamis, 15 Januari 2026, kira-kira jam 8.05 malam.
Perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga menerusi satu kenyataan rasmi yang dikongsikan di media sosial, sekali gus merungkai tanda tanya mengenai kehilangan Allahyarham sebelum ini.
Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.
Tanda tanya mengenai kehilangan Nadia Kesuma sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah akhirnya terjawab apabila pelakon berkenaan dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung.
Anak Sahkan Punca Kematian Menerusi Threads
Perkara itu disahkan oleh anak perempuannya menerusi satu hantaran di platform Threads sebentar tadi. Dalam kenyataan tersebut, beliau memaklumkan ibunya meninggal dunia pada 15 Januari lalu, selepas mengalami masalah jantung sebaik tiba di Jeddah.
“Assalamualaikum semua, saya ingin memaklumkan bahawa mama saya, Nadiah Kasumawati Binti Abdul Karim telah pun kembali ke Rahmatullah pada 15 Januari lalu (Khamis) kira-kira pukul 8.05 pagi.
“Terima kasih kepada kalian yang tidak berhenti menitipkan doa buat mama. Mohon doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, diampunkan segala dosanya dan dirahmati Allah.
“Arwah meninggal disebabkan sakit jantung dan kemudiannya telah dibawa ke hospital pada hari yang sama arwah tiba di Lapangan Terbang Jeddah.
“Tiada pihak yang memaklumkan kepada kami sekeluarga tentang keadaan arwah sehinggalah malam ini pada pukul 11.10 malam. Berita tersebut disampaikan oleh pihak agensi pelancongan itu sendiri,” tulisnya.
Terdahulu, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, yang pernah membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta, dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Rabu lalu.
Allahyarham merupakan antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah dan ziarah bersama sebuah agensi pelancongan, dengan perjalanan dijadualkan bermula dari 14 hingga 28 Januari 2026. – The Malaysian Update
The post Pelakon Nadia Kesuma Meninggal Dunia Akibat Sakit Jantung Di Jeddah appeared first on The Malaysian Update.



