Pelakon suara Optimus Prime, Peter Cullen meninggal dunia pada usia 85 tahun

EntertainmentMovie
28 Aug 2026 • 7:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelakon suara Optimus Prime, Peter Cullen meninggal dunia pada usia 85 tahun
Peter Cullen yang terkenal sebagai suara di sebalik watak Optimus Prime dalam francais Transformers, meninggal dunia pada usia 85 tahun. Gambar fail

PELAKON suara legenda, Peter Cullen, yang terkenal sebagai suara di sebalik watak Optimus Prime dalam francais Transformers, meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Cullen dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Los Angeles pada Rabu, 26 Ogos, dalam keadaan tenang dan dikelilingi ahli keluarga. Namun, punca kematiannya setakat ini masih belum didedahkan.

Menurut TMZ, keluarga Cullen dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelakon suara legenda itu meninggal dunia dengan tenang dan dikelilingi ahli keluarga tersayang.

“Peter Cullen meninggal dunia dengan tenang, dikelilingi keluarga yang menyayanginya, dan sentiasa berada dalam ingatan rakan-rakan serta peminatnya di seluruh dunia.

“Keluarganya meminta orang ramai menghormati legasi luar biasanya dengan berkhidmat kepada masyarakat serta memimpin dengan penuh belas kasihan, integriti dan kesetiaan, selain sentiasa mengingati pesanan, ‘be strong enough to be gentle’,” menurut kenyataan itu.

Keluarga Cullen turut berkata, mendiang akan terus dikenang bukan sahaja oleh mereka yang terdekat, malah rakan-rakan serta jutaan peminat di seluruh dunia.

Cullen mula menyuarakan Optimus Prime, pemimpin Autobots, menerusi siri animasi Transformers pada era 1980-an sebelum kembali membawa watak berkenaan dalam siri filem aksi langsung arahan Michael Bay, dan terus memainkan watak itu dalam beberapa siri animasi, permainan video serta filem-filem susulan termasuk Transformers: Rise of the Beasts pada 2023.

Sepanjang lebih empat dekad, suara garau dan berwibawa Cullen menjadi begitu sinonim dengan Optimus Prime sehingga sukar untuk memisahkan watak berkenaan daripada pelakon kelahiran Montreal, Kanada itu.

Selain Optimus Prime, Cullen turut dikenali sebagai suara Eeyore dalam francais Winnie the Pooh, selain terlibat dalam produksi seperti Predator, King Kong, Knight Rider, Chip 'n Dale: Rescue Rangers dan Invincible.

Sumbangannya dalam bidang lakonan suara turut mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Children's & Family Emmy Awards pada 2023, yang disampaikan oleh seorang lagi legenda Transformers, Frank Welker.

Cullen meninggalkan empat orang anak, Angus, Claire, Pilar dan Clay. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved