
KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Nu’man Mohd Salleh yang lebih dikenali sebagai Charlie telah meninggal dunia pada usia 71 tahun hari ini.
Allahyarham disahkan menghidap kanser usus tahap empat sebelum kematiannya.
Adiknya Yusri Salleh menyatakan abangnya menghembuskan nafas terakhir di rumah anak perempuannya di Sri Rampai pada pukul 8.15 malam.
“Arwah terlantar sakit pada Khamis lepas dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur lalu disahkan menghidap kanser usus.”
“Arwah kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi dan dibenarkan pulang ke rumah pada hari Jumaat.”
Yusri menambah keadaan Allahyarham tenat dan tidak boleh bercakap sebelum kematiannya.
Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Salahuddin Al-Ayubbi Taman Melati selepas zohor esok.
Seterusnya jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selaseh.
Allahyarham Charlie yang merupakan bapa tunggal meninggalkan tujuh orang anak. – Bernama

