Pelaksanaan e-invois berjalan baik jika GST diperkenalkan semula – LHDN
diyana
26/10/2023 - 16:20
KUALA LUMPUR 26 Okt - Pelaksanaan sistem invois elektronik (e-invois) akan berjalan dengan baik sekiranya kerajaan memilih untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Dr Mohd Nizom Sairi.
Pada masa yang sama, katanya, ia membantu kerajaan mencapai sasaran kutipan cukai 2024 sebanyak RM185 bilion.
Menurut beliau, e-invois direka bentuk bagi menampung mekanisme GST dan penggunaan sistem ini sudah tentu akan memacu ekonomi tunai dan ekonomi bayangan untuk mendedahkan urus niaga kewangan.
"Rakyat kini bercakap mengenai pengenalan semula GST dan jika ia dilaksanakan, anda tidak perlu melakukan apa-apa lagi. E-invois sebenarnya memenuhi sistem GST," katanya selepas seminar Grant Thornton Malaysia mengenai Belanjawan 2024 di sini, hari ini.
Mengulas tentang kos pelaksanaan e-invois, Mohd Nizom mengakui terdapat beberapa kos untuk penggunaan e-invois terutamanya dalam meminda sistem percukaian semasa supaya sesuai dengan keperluan sistem e-invois namun ia adalah minimum.
"Ia tidak seperti anda perlu membina sistem yang sesuai dengan keperluan GST atau anda boleh menggunakan pihak ketiga untuk menyediakan antara muka pengaturcaraan aplikasi untuk menyambung sistem anda dan data invois. Bagi perniagaan kecil sederhana, mikro, kami sedang membangunkan penyelesaian," lapor Bernama.
LHDN telah mengumumkan bahawa Malaysia akan melaksanakan e-invois secara beransur-ansur mulai tahun depan dengan pelaksanaan mandatori berperingkat bermula dengan perniagaan terpilih pada Ogos 2024 dan akan meliputi semua syarikat menjelang Julai 2025.
Sementara itu, kutipan hasil kerajaan persekutuan pada 2024 dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 1.5% kepada RM307.6 bilion atau 15.6% daripada KDNK, dipacu oleh kutipan cukai yang lebih tinggi.
Hasil cukai terus menjadi penyumbang utama dan dijangka berkembang sebanyak 6.4% kepada RM243.6 bilion yang merupakan 79.2% daripada jumlah hasil atau 12.3% daripada KDNK.
Pada 2024, Kementerian Kewangan berkata kutipan daripada cukai langsung dianggarkan meningkat sebanyak 6.9% kepada RM185 bilion atau 75.9%daripada jumlah hasil cukai.
Unjuran hasil kerajaan bagi 2023 disemak naik sebanyak 4% atau RM11.7 bilion kepada RM303.2 bilion atau 16.4% daripada KDNK, berbanding anggaran awal RM291.5 bilion. - DagangNews.com



