Pelaksanaan GEG bakal jejas perniagaan Bumiputera - DPVM

5 Oct 2023 • 2:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaksanaan GEG bakal jejas perniagaan Bumiputera - DPVM

zulfadli

05/10/2023 - 14:27

KUALA LUMPUR 5 Okt - Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang mencadangkan dasar Generasi Penamat (GEG) dibentangkan di Parlimen minggu depan bakal menjejaskan industri vape tanah air yang didominasi Bumiputera.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, pelaksanaan GEG bakal membunuh industri vape tempatan milik Bumiputera yang kini merupakan antara sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, industri vape di Malaysia yang didominasi Bumiputera dalam kajian terbaru DPVM sehingga penghujung 2022, Malaysia mempunyai ribuan usahawan tempatan dan tenaga kerja.

"Katanya, dalam situasi industri semasa, perlaksanaan GEG boleh membantutkan sebarang pembangunan yang telah dicapai oleh pengusaha tempatan yang selama ini bertungkus lumus untuk memajukan industri tempatan.

"GEG adalah satu langkah yang terlalu drastik. Melarang sesuatu penggunaan produk yang telah sedang digunakan dalam pasaran adalah satu perkara yang amat sukar untuk dilaksanakan dan hanya akan menimbulkan satu permasalahan lain," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Ridhwan, pihaknya yakin jika dilaksanakan, ia bakal secara perlahan membunuh industri vape tempatan yang kini merupakan antara sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara.

"Jika dilihat dalam konteks yang lebih besar, ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada industri vape, tetapi kesannya juga akan mempengaruhi ekonomi negara dari segi kutipan cukai, tenaga kerja, industri sampingan yang berkaitan dengan industri ini," ujarnya.

image is not available
Ridhwan Rosli

Beliau berkata, sekarang bukan waktu yang sesuai untuk negara melaksanakan satu usaha yang drastik seperti ini ekoran ketidakstablian ekonomi.

Katanya, hasrat negara untuk mengurangkan kelaziman merokok di negara ini bakal menemui jalan buntu kerana rokok masih boleh didapati malah pada harga yang jauh lebih murah.

"Peluang dan ruang perlu diberikan kepada pengusaha untuk berkembang. Beri dorongan dan ikhtiraf industri vape sebagai salah satu industri yang menyumbang kepada ekonomi negara.

"Apa yang diperlukan industri ketika ini adalah kawal selia dan bukannya GEG. Kawal selia perlu membuat penetapan yang bersesuaian di setiap peringkat pembuatan, pengilangan, pembungkusan dan penjualan," katanya. - DagangNews.com