Pelaksanaan GEG dijangka bawa kerugian RM346 juta kepada KDNK Malaysia menjelang 2040 - kajian Oxford Economics
zulfadli
06/10/2023 - 16:37
KUALA LUMPUR 6 Okt - Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkemungkinan mengalami kerugian sebanyak RM346 juta menjelang 2040 jika Dasar Generasi Penamat (GEG) dilaksanakan, menurut Oxford Economics.
Menurut firma penyelidikan dan penganalisis itu, potensi kehilangan aktiviti ekonomi daripada sektor tembakau dan rantaian bekalannya juga boleh mengakibatkan kehilangan lebih 2,700 pekerjaan dalam ekonomi formal dan tambahan RM1.2 bilion dalam ketirisan cukai tahunan akibat aktiviti penyeludupan menjelang 2040.
Selain itu, nilai sebenar kerugian mungkin lebih besar kerana angka dalam laporan itu tidak mengambil kira sumbangan terbaru industri vape setelah industri itu disahkan di Malaysia.
Kajian Oxford Economics menunjukkan bahawa pengharaman vape boleh menjejaskan potensi sumbangan cukai sektor itu yang dianggarkan RM1 bilion setahun.
Laporan itu juga menunjukkan bahawa pelaksanaan GEG boleh menyebabkan pertumbuhan dalam pasaran tembakau dan vape seludup, kerana Malaysia mempunyai salah satu masalah penyeludupan tembakau terbesar di dunia.
Dianggarkan tambahan 1.2 bilion rokok seludup boleh didapati dalam pasaran setiap tahun menjelang tahun 2030 jika langkah ini dilaksanakan, dalam senario yang mana pengguna terkesan dengan GEG bertukar kepada alternatif seludup, berbanding jika dasar GEG tidak dilaksanakan.
Oxford Economics dalam laporan itu berkata, walaupun dasar GEG adalah idea berani, analisis yang terperinci mengenai potensi risiko, terutamanya apabila terdapat ketidakpastian berhubung penguatkuasaan dasar, dan kos pertukaran kompleks serta faedah yang terhasil daripada pelaksanaan GEG.
Penilaian yang teliti harus dilakukan terhadap potensi kos, faedah dan risiko yang boleh berlaku.
Laporan itu menekankan tiga kemungkinan hasil daripada pelaksanaan GEG, yang mana salah satunya adalah yang paling munasabah.
Dasar GEG tidak akan memberikan hasil yang diharapkan kerana kekurangan penguatkuasaan dasar dan kohort GEG akan bertukar sepenuhnya kepada produk tembakau dan vape yang haram.
Laporan itu juga mengesyorkan beberapa pertimbangan penting untuk pihak berkuasa Malaysia, sambil menilai kebolehlaksanaan dasar GEG sebelum pelaksanaannya seperti kos dan kerumitan penguatkuasaan dan kesan ke atas matlamat kesihatan awam di bawah senario penguatkuasaan yang lemah. - DagangNews.com

