Pelaksanaan SST 8% bagi sewaan, kos operasi MyNews dijangka meningkat RM5 juta setahun - RHB Research

16/06/2025 - 14:38
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 16 Jun - Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 8% ke atas perkhidmatan sewaan dan pajakan berpotensi meningkatkan kos operasi MyNews Holdings Bhd sebanyak RM5 juta setahun, kata RHB Research.
Katanya, peningkatan kos itu adalah kerana 70% daripada cawangannya berada di pusat beli-belah.
Firma penyelidikan itu berkata, dalam senario paling buruk ialah sekiranya pemilik bangunan memaindahkan sepenuhnya cukai tersebut kepada penyewa.
"Pengurusan ketika ini masih lagi menilai impak pelaksanaan SST dan berhasrat untuk berunding dengan pemilik bangunan, di mana hasil rundingan berkemungkinan bergantung kepada terma sewaan serta kuasa tawar-menawar masing-masing.
"Buat masa ini kami tidak membuat sebarnag perubahan unjuran pendapatan sementara menunggu maklumat lebih lanjut mengenai jumlah cawangan yang terjejas dan tahap pemindahan kos yang akan berlaku," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, kumpulan itu merancang untuk membuka 100 kedai pada FY25 dengan majoritinya terdiri daripada cawangan MyNews – memandangkan keuntungannya yang lebih kukuh dan keperluan perbelanjaan modal (capex) yang lebih rendah (RM350,000 berbanding RM600,000 bagi CU).
Katanya, peningkatan jumlah jualan hasil daripada pengembangan rangkaian, bersama pertumbuhan jualan yang kukuh akan meningkatkan kuasa tawar-menawar dengan pembekal, menyokong pengembangan margin keuntungan kasar bagi kedua-dua jenama, dan meningkatkan penggunaan kemudahan pemprosesan makanan (FPC) untuk mengekalkan momentum pemulihan.
Sementara itu, firma penyeidikan itu menjangkakan CU akan mencapai tahap pulang modal pada tahun ini berbanding anggaran kerugian sebelum cukai suku tahunan sebanyak RM4 juta hingga RM5 juta ketika ini, disokong pemilihan produk serta kualiti makanan segar yang lebih baik, hasil daripada usaha R&D yang berterusan.
"CU juga telah merasionalisasi penawarannya dengan memberi tumpuan kepada SKU berprestasi tinggi, sambil mengamalkan disiplin yang lebih ketat dalam perbelanjaan capex berkaitan peralatan – dengan mengelakkan pelaburan dalam item khusus atau berpermintaan rendah yang melibatkan kadar penggunaan terhad dan kos penyelenggaraan yang tinggi.
"Pada masa yang sama, CU terus meningkatkan usaha pemasaran dan promosi bermusim untuk mengekalkan kehadiran pelanggan, katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran 86 sen sesaham. - DagangNews.com
standard


