Pelan IJM senaraikan anak syarikat pembinaan berpotensi buka nilai cecah RM2.6 bilion — TA Securities

LocalBusiness & Finance
12 May 2026 • 12:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelan IJM senaraikan anak syarikat pembinaan berpotensi buka nilai cecah RM2.6 bilion — TA Securities Image from: Pelan IJM senaraikan anak syarikat pembinaan berpotensi buka nilai cecah RM2.6 bilion — TA Securities amree12/05/2026 - 12:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 MeiIJM Corporation Berhad berpotensi membuka nilai tersembunyi mencecah RM2.6 bilion menerusi cadangan penyenaraian anak syarikat pembinaannya, menurut analisis TA Securities.


Usaha itu ujarnya, menjadi pemangkin utama mampu mengembalikan keyakinan pelabur selepas saham kumpulan tertekan susulan isu kegagalan tawaran pengambilalihan sukarela (VTO) oleh Sunway Berhad.


Tambah firma penyelidikan tersebut, langkah penyenaraian IJM Construction Sdn Bhd merupakan antara inisiatif paling ketara dalam pelan 'value unlocking' kumpulan bagi tempoh dua tahun yang akan datang.


"Kami menganggarkan subsidiari ini mampu mencapai nilai ekuiti RM2.6 bilion berdasarkan unjuran hasil FY26, dan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 17 kali," kata TA Securities.


Nilai itu jelasnya, adalah bersamaan kira-kira 30% daripada modal pasaran semasa IJM, sekali gus menunjukkan masih banyak nilai tersembunyi belum diteroka dalam struktur konglomerat sedia ada.


Firma itu berkata, walaupun sahamnya susut 12% dalam tempoh tiga bulan lalu, prestasi harga saham selepas ini dijangka bergantung kepada kemampuan pengurusan melaksanakan pelan strategik tersebut.


Ujar TA Securities, penyenaraian unit ini dijangka memberi pendedahan kepada operasi infrastruktur Malaysia dan Singapura yang menawarkan margin kukuh, termasuk projek berkaitan pusat data (DC).


"Selain itu, IJM juga ada merancang keluar untuk secara berperingkat daripada pasaran India yang melibatkan segmen hartanah, pembinaan dan konsesi lebuh raya di negara berkenaan," tambahnya.


Justeru firma penyelidikan tersebut berpandangan langkah itu positif kerana membolehkan kumpulan menumpukan sumber kepada pasaran teras dengan prospek pulangan lebih baik dan risiko yang rendah.

 

IJM_DagangNews


Di samping itu jelas TA Securities, operasi di India sebelum ini sering berdepan dengan banyak cabaran termasuk masalah ketidaktentuan margin, risiko pelaksanaan projek dan isu kawal selia.


Pelupusan aset di India katanya, berpotensi membuka modal untuk dilaburkan semula ke dalam segmen pertumbuhan tinggi seperti infrastruktur, bangunan industri serta DC di Malaysia dan Singapura.


"Pada masa sama, IJM turut meneroka pengoptimuman dana daripada konsesi matang seperti lebuh raya Besraya dan NPE bagi membuka nilai aset dan memperkukuh kedudukan kewangan," ujar firma itu lagi.


Bagaimanapun, TA Securities menjangkakan usaha penjanaan nilai daripada NPE kurang berkemungkinan berlaku selepas kumpulan tersebut memperoleh lanjutan konsesi bernilai RM1.4 bilion sehingga 2057.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut berkata, asas perniagaan kumpulan kekal kukuh dengan buku tempahan pembinaan belum dibilkan sebanyak RM17.3 bilion selain tender aktif RM17 bilion.


Namun tambahnya, unjuran segmen hartanah IJM disemak lebih berhati-hati apabila sasaran jualan bagi tahun kewangan 2026 (FY26) dikurangkan kepada RM1.7 bilion berbanding RM2 bilion sebelum ini.


"Susulan pelarasan andaian angka tersebut, kami turut menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan berkenaan bagi FY26 hingga FY28 antara kira-kira 1.8% hingga sebanyak 4%," kata TA Securities.


Di samping itu, firma berkenaan turut menukar pendekatan penilaian kepada kaedah jumlah bahagian (SOP) daripada nisbah harga kepada buku (P/B), sejajar dengan fokus kumpulan membuka nilai aset.


Secara keseluruhan, ia menurunkan harga sasaran (TP) saham IJM kepada RM3.05 daripada RM3.46 sebelum ini, namun mengekalkan saranan 'beli' yang menunjukkan ada potensi dalam jangka panjang.


Menurut TA Securities, IJM masih berada pada kedudukan strategik untuk mendapat manfaat daripada projek infrastruktur berskala besar termasuk pertumbuhan pesat industri DC. - DagangNews.com

Terkini featured standard