Pelan kumpul RM550 juta daripada bon antara strategi selamatkan KNM – Andreas Heeschen

Business & Finance
13 Oct 2023 • 5:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelan kumpul RM550 juta daripada bon antara strategi selamatkan KNM – Andreas Heeschen

diyana

13/10/2023 - 17:55

KUALA LUMPUR 13 Okt - Bilionair Jerman, Andreas Heeschen berhasrat untuk mengumpul 110 juta euro (kira-kira RM550 juta) menerusi bon sebagai sebahagian daripada pelan menyelamatkan KNM Group Bhd yang sarat dengan hutang.

Kumpulan diketuai oleh Andreas bersama enam lagi lembaga pengarah yang dicadangkan, termasuk Puteri Johor, Tunku Kamariah Aminah Maimunah lskandariah Sultan Iskandar telah mengadakan sidang media di Kuala Lumpur bagi menjelaskan bahawa tujuan mereka hanya untuk menyelamatkan syarikat dari status Nota Amalan 17 (PN17).

Andreas menjelaskan bahawa KNM mempunyai hutang kira-kira RM1.1 bilion yang perlu distrukturkan, di mana bon sebanyak RM550 juta itu dilihat sebagai permulaan yang baik.

“Saya telah menstrukturkan hutang secara praktikal sepanjang hidup saya dan pelabur bon ini telah dirujuk oleh saya sendiri dan oleh tiga individu yang bekerja dengan saya selama lebih 20 tahun.

“Kami akan dapat mengumpul 110 juta euro wang baharu untuk syarikat ini menggantikan hutang sedia ada.

“Pada masa ini, kami yakin menjelang akhir tahun ini, kami boleh mendapatkan 110 juta euro yang akan digunakan untuk membayar pemiutang,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata syarikat itu mempunyai keupayaan untuk menjadikan portfolio aset semasanya jauh lebih baik.

William H Van Vliet III menambah bahawa KNM mempunyai kilang di Kuantan, Melaka dan Batam namun kurang digunakan.

image is not available
(Dari kiri) William H Van Vliet III, Andreas Heeschen dan Flavio Porro

“Kita boleh memulakan semula operasi kilang-kilang ini untuk mengambil tugasan anak syarikat lain bagi membantu kos kekal rendah.

“Kita juga mempunyai kilang etanol di Thailand yang terbiar sejak awal pandemik dan ini perlu diperbaiki. Ia menyediakan aliran hasil berulang jangka panjang untuk syarikat,” katanya.

Di samping itu, William melihat potensi perniagaan dalam pertanian yang boleh menghasilkan pendapatan jangka panjang.

Mengulas mengenai perebutan kerusi lembaga pengarah, Andreas menekankan bahawa gesaan menyingkir lembaga pengarah KNM sedia ada ini bukanlah bertujuan untuk bermusuhan namun merupakan permintaan daripada pemegang saham bagi mengambil langkah untuk memulihkan syarikat.

“Saya adalah pelabur dalam syarikat ini dan secara amnya, saya bimbang wang untuk membeli saham dalam syarikat ini akan dihapuskan. Ia akan menjadi sifar jika pemegang hutang syarikat ini akan mengambil alih,” katanya. - DagangNews.com