
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 akan menetapkan sasaran prestasi utama (KPI) yang lebih tegas termasuk keperluan pelajar sekolah rendah dan menengah untuk memperoleh sekurang-kurangnya gred C dalam empat subjek teras iaitu:
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Matematik
- Sejarah.
Menurut The Star yang memetik Sin Chew Daily, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, sasaran tersebut bersifat wajib dan perlu diberi perhatian serius.
“Ini adalah sasaran wajib. Jika ia tidak dicapai, kita perlu bertanya kenapa,” katanya dalam satu temu bual televisyen.
Pelajar perlu capai tahap lulus dalam penilaian kecergasan
Selain pencapaian akademik, Kementerian Pendidikan (KPM) turut menetapkan sasaran agar 90% murid dari Darjah Dua hingga Tingkatan Lima mencapai tahap lulus dalam penilaian kecergasan fizikal dan kesihatan.
Menurut Mohd Azam, pelan pendidikan baharu itu dibina berasaskan tujuh teras utama yang menjadi strategi menyeluruh, lengkap dengan petunjuk prestasi jelas serta pelaksanaan inisiatif jangka pendek (quick wins) bagi mencapai hasil awal.
Tegas beliau, pencapaian sasaran ini tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan, sebaliknya perlu dizahirkan dalam pengajaran di bilik darjah, aktiviti sekolah serta interaksi antara guru dan murid.
“Ini bukan soal menghimpunkan sejumlah besar guru di satu tempat dan sekadar berbincang tentang cara meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris.
“Sebaliknya, kami mahu memastikan guru sendiri mempunyai tahap kompetensi profesional yang tinggi, di samping mengamalkan kaedah pengajaran yang paling sesuai dengan keperluan murid berdasarkan keadaan setempat,” katanya lagi.
KPM akan guna mekanisme PCL, beri ruang sekolah rancang program dan aktiviti
Menurutnya lagi, KPM juga akan menggunakan mekanisme seperti Professional Learning Communities (PLC) bagi memberi ruang kepada sekolah merancang program dan aktiviti yang sesuai secara kendiri, selagi ia selaras dengan kerangka taktikal yang ditetapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan melancarkan secara rasmi RPM 2026-2035 pada hari ini (20 Januari) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
