Pelan Prime Video Dengan Iklan Tidak Menyokong Dolby Vision Dan Atmos

TechnologyDigital
13 Feb 2024 • 9:01 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Minggu lalu Prime Video mula menawarkan pelan asas dengan sokongan iklan. Pada pelan paling mampu milik ini, iklan akan diselitkan antara kandungan yang ditonton. Ia mula ditawarkan kepada pengguna Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum dikembangkan ke pasaran lain yang mempunyai sokongan pengiklanan Amazon.

image is not available

Menurut laporan Forbes, satu kekurangan pelan baharu ini ialah tiada lagi sokongan Dolby Vision dan Dolby Atmos. Secara lalai video akan dimainkan pada tetapan HDR10+ sahaja dan audio sekadar stereo bagi pelanggan. Amazon mengesahkan ini disengajakan dan bukan kesilapan pada sistem. Semasa mengumumkan pelan baharu dengan sokongan iklan, mereka tidak mengatakan dua ciri ini akan dihalang kepada pengguna.

Bagi pelanggan di Malaysia perkembangan terkini ini tidak perlu dirisaukan dalam jangka masa terdekat kerana Prime Video tidak menawarkan pengiklanan di pasaran tempatan. Hanya pelanggan di Amerika Syarikat, UK, Jerman, Kanada, Perancis, Itali, Sepanyol, Mexico dan Australia sahaja akan terkesan.