Pelan strategik Forward30 letakkan CIMB dalam kedudukan kukuh bagi fasa pertumbuhan seterusnya

29/04/2025 - 17:57
Tan Sri Mohd Nasir Ahmad (kiri) bersama Novan Amirudin semasa Mesyuarat Agung Tahunan CIMB Group Holdings Berhad ke-68 di Pusat Konvensyen Sime Darby. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 April - Pelan strategik Forward30 yang dilancarkan CIMB Group Holdings Berhad mempunyai fokus khusus dalam mengoptimumkan peruntukan modal dan membentuk semula sistem perbankan melalui model yang mengutamakan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Novan Amirudin berkata, pihaknya melihat peningkatan peluang perniagaan terutamanya dengan perdagangan antara wilayah, yang akan memanfaatkan francais bersepadu ASEAN seperti CIMB.
"Kami komited untuk menyampaikan pengalaman yang 'Lebih Mudah, Lebih Baik dan Lebih Pantas' untuk pelanggan kami, sambil memperkasakan pekerja kami dengan proses yang lebih baik.
"Tahun 2025 menandakan babak penting bagi CIMB semasa kami beralih daripada strategi Forward23+ kami kepada pelan hala tuju strategik kami yang baru dilancarkan, Forward30, yang berpaksikan pada tujuan kami untuk memajukan pelanggan dan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Novan berkata, pihaknya akan terus meningkatkan penggunaan teknologi termasuk GenAI bagi meningkatkan pengalaman perbankan pelanggan, meningkatkan produktiviti dan daya tahan.
Katanya, ia adalah teras kepada fokus kumpulan untuk menjadi bank ASEAN yang paling bijak, dengan mendapatkan kedudukan tiga teratas Skor Promoter Bersih di seluruh pasaran utama.
"Kami akan bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan kami semasa kami mengejar matlamat ini, dan kami kekal yakin dengan keupayaan kami untuk mengemudi turun naik, disokong oleh kekuatan dan daya tahan francais
"Kami amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan memberi tumpuan untuk membuka kunci bidang pertumbuhan baharu sambil mengekalkan keseimbangan yang kukuh antara tujuan dan prestasi," katanya.
Terdahulu, CIMB mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-68 (AGM) hari ini di Pusat Konvensyen Sime Darby dengan kesemua 12 resolusi biasa diluluskan, dan penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) telah diterima.
CIMB mencatatkan prestasi cemerlang pada 2024, didorong perniagaan francais pelanggan yang kukuh disokong strategi proaktif kepada deposit yang diterajui untuk mengekalkan margin faedah bersih (NIM), meningkatkan peluang jualan silang, mengekalkan kawalan kos yang berdisiplin dan meningkatkan kualiti aset.
Hasilnya, kumpulan berjaya meningkatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) kepada 11.2% pada 2024, meningkat daripada 10.7% pada 2023, sambil memenuhi kebanyakan sasaran kewangan yang ditetapkan di bawah pelan strategik Forward23+.
CIMB kekal dengan permodalan yang baik, dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) sebanyak 14.6% pada Disember 2024, menunjukkan kekuatan dan daya tahan modal kumpulan yang berterusan.
Kumpulan mengisytiharkan jumlah dividen tahunan sebanyak 47 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 55.5%, dengan jumlah pembayaran dividen tertinggi sebanyak RM5.04 bilion untuk FY24.
Sementara itu Pengerusi CIMB Group, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad berkata, 2024 menandakan pemulihan bagi Malaysia, melebihi jangkaan dan menyediakan asas yang kukuh untuk sektor perbankan.
"Ini membolehkan CIMB berdepan situasi turun naik dengan turun naik dengan keyakinan serta memenuhi sasaran Forward23+ yang telah mengukuhkan kedudukan kami sebagai bank ASEAN terkemuka dan menyampaikan pulangan tahunan pemegang saham sebanyak 34.6% dari 2020 hingga 2024," katanya. - DagangNews.com
featured standard

