Pelan strategik Usia 2.0 perkukuh pengurusan, dakwah, pendidikan dan ekonomi

LocalPolitics
7 Mar 2025 • 4:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

Kota Kinabalu: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) akan terus memperkukuhkan agenda pembangunan dakwah, pendidikan dan ekonomi, menerusi Pelan Strategik Pembugaran Usia 2.0 yang akan dilancarkan dalam dua bulan.

Yang Di Pertua Usia, Datuk Sapawi Ahmad berkata, enam fokus dikenali 6P yang menjadi teras dalam pelan strategik pertama sebelum ini akan turut diperkukuhkan antaranya pembangunan semula bangunan Usia.

“Usaha ini juga termasuk penubuhan Pusat Pembangunan Komuniti, pembugaran Inisiatif Dakwah dan Pendidikan, penjanaan dan peningkatan ekonomi, pewujudan sistem pengurusan dan pangkalan data digital, serta pemerkasaan Pusat Latihan Dakwah.

“Kita memurnikan lagi enam fokus pelan strategik pertama ini yang kesemuanya sedang berjalan mengikut jadual,” katanya dalam sidang media selepas bengkel Pelan Strategik Pembugaran Usia 2022-2024, di sini, Rabu.

Hadir sama Setiausaha Agung Datuk Iman Ali dan Ketua Penerangan Datuk Salsidu Ibrahim.

Sapawi berkata, dalam aspek agenda pembangunan secara menyeluruh, Usia akan melaksanakan penstrukturan semula pengurusan dan pentadbiran di peringkat pusat, zon dan bahagian di seluruh Sabah.

Ini, katanya, termasuk penjenamaan program bahagian dakwah dengan kemungkinan mewujudkan semula jawatan Pengarah Dakwah Pusat yang sekian lama telah tertangguh.

“Sebelum ini kita ada pengarah dakwah di peringkat pusat, tetapi agak lama tertangguh...maka kita cuba strukturkan semula supaya bahagian dakwah ini berfungsi dengan lebih berkesan,” katanya.

Mengenai inisiatif ekonomi, beliau berkata Usia telah memperakukan penubuhan sebuah yayasan yang nama rasminya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagi tujuan pembangunan ekonomi, katanya, Usia juga akan memperkasa tanah-tanah dan aset yang masih terbengkalai untuk dibangunkan supaya ia menjadi salah satu sumber pendapatan kekal.

Menurutnya, salah satu daripada aset yang berjaya dimajukan badan itu ketika ini adalah tanah di Semporna yang kini dibangunkan menjadi hotel dengan kerjasama sebuah syarikat tersenarai di Bursa Saham.

“Beberapa aset lagi telah dikenal pasti untuk dimajukan, termasuk ada yang terbengkalai lebih 10 tahun,” katanya.

Tambahnya, Usia turut komited menyokong usaha kerajaan, bukan saja dalam bidang dakwah tetapi juga pembangunan pendidikan dan sosial yang memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan berkolaborasi dengan jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) lain yang turut berkongsi matlamat yang sama.

Terdahulu, lebih 30 pimpinan dan pengurusan Usia di semua peringkat menyertai bengkel berkenaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.