Pelan tindakan kecekapan tenaga untuk pengguna besar

LocalBusiness & Finance
13 Apr 2025 • 4:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

SELAIN strategi penguatkuasaan dan pembendungan ECoS turut memperkenalkan pembaharuan jangka panjang yang bertujuan membentuk semula cara rakyat Sabah menggunakan dan berfikir tentang tenaga elektrik.

Antaranya ialah program Selco PV yang menggalakkan perniagaan menjana tenaga solar mereka sendiri di bawah model penggunaan kendiri.

“Selco PV bermaksud sistem solar fotovoltaik untuk kegunaan sendiri. Ia membolehkan pengguna komersial dan industri memasang panel solar dan menggunakan tenaga itu secara langsung sambil kekal disambungkan kepada grid.

“Anda perlu memohon melalui ECoS dan kelulusan akan diberikan selepas proses semakan dan penyelarasan dengan SE.”

Walaupun ketika ini tertumpu kepada sektor komersial dan industri disebabkan penggunaan tenaga yang lebih besar Abdul Nasser berkata inisiatif ini menunjukkan potensi yang memberangsangkan.

“Kami melihat penyertaan yang baik. Model ini berpotensi menyumbang sehingga 5 hingga 10 peratus daripada jumlah permintaan.

“Mungkin nampak kecil, tapi ia memberi kesan, terutamanya dalam mengurangkan kekurangan tenaga semasa gangguan atau waktu puncak.”

ECoS turut giat mempromosikan langkah-langkah kecekapan tenaga di samping penjanaan sendiri sebagai satu lagi tonggak dalam strategi jangka panjangnya.

“Terdapat keperluan undang-undang untuk pengguna besar mengamalkan kaedah penggunaan tenaga yang cekap di bawah Enakmen Bekalan Elektrik Sabah.

“Mereka perlu melantik pengurus tenaga bertauliah yang akan menjalankan audit secara berkala dan menghantar laporan kepada kami.”

Bagi menyokong usaha ini, suruhanjaya sedang membangunkan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah (Siap) sebuah pelan tindakan khusus negeri yang diolah daripada model nasional (Niap) dan dijangka dilancarkan awal tahun depan.

“Pelan ini akan menggariskan sasaran, inisiatif dan kewajipan khusus untuk industri, institusi dan mungkin juga isi rumah.

“Ia adalah tentang memupuk budaya penggunaan tenaga yang bertanggungjawab—kerana tenaga paling murah adalah tenaga yang tidak digunakan secara sia-sia.”

Tambah beliau kempen kesedaran juga sedang dijalankan untuk mendidik orang ramai tentang bagaimana perubahan tingkah laku kecil seperti mematikan peralatan elektrik atau menggunakan mentol cekap tenaga boleh membawa kepada penjimatan jangka panjang dan mengurangkan beban kepada grid.

Abdul Nasser berkata masa depan tenaga Sabah bukan hanya bergantung kepada bekalan tetapi juga tanggungjawab di pihak pengguna.

“Keselamatan tenaga bukan sekadar berapa banyak yang kita boleh jana, tetapi juga bagaimana kita menggunakannya dengan bijak.

“Orang ramai perlu berhenti berfikir bahawa kerajaan atau syarikat utiliti akan menyelesaikan segalanya. Mereka juga perlu mainkan peranan.”

Beliau menekankan bahawa ECoS berusaha untuk mendemokrasikan akses tenaga di Sabah—bukan dengan memberinya secara percuma, tetapi dengan menjadikannya lebih selamat, lebih cekap, dan lebih inklusif.

Abdul Nasser turut percaya usaha yang diselaraskan antara kerajaan, penyedia utiliti, perniagaan, dan orang ramai kekal penting.

View Original Article