Sebagai sebuah negara yang semakin cenderung ke arah pendigitalan perkhidmatan, dan mempunyai cita-cita untuk menjadi sebuah negara AI menjelang tahun 2030, kerajaan Malaysia hari ini telah merasmikan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) sebagai pelan pelaksanaan nasional bagi tempoh 2026–2030 ke arah agenda tersebut. MD2030 menandakan peralihan drastik fokus negara daripada pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi tempatan.
Pelan MD2030 menggariskan sasaran nasional yang komprehensif menjelang tahun 2030, merangkumi petunjuk ekonomi dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam yang menyeluruh, termasukah:
- 30 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara
- 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi di dalam ekonomi digital
- Penjimatan sebanyak RM4.5 bilion bagi sektor awam hasil daripada operasi pendigitalan Kerajaan
- 95 peratus perkhidmatan kerajaan disediakan secara atas talian dari hujung ke hujung

Dalam pada itu, pelan MD2030 juga akan hadir dengan tujuh teras strategik yang akan diterajui oleh Kementerian Digital dan juga pelbagai kementerian lain untuk menjamin pelaksanaan dan keberkesanan pelan ini secara menyeluruh, bukan sahaja untuk manfaat pihak kerajaan, tetapi pelbagai sektor ekonomi dan juga rakyat Malaysia.
- Teras 1: Kerajaan (Ketua Kluster: Ketua Setiausaha Negara; Sekretariat: Kementerian Digital – KD) Memperkenal dan mempertingkat penyampaian perkhidmatan kerajaan berpusatkan pengguna menerusi penubuhan GovTech Malaysia, semakan semula perundangan, serta penciptaan bersama antara kerajaan, perniagaan, dan rakyat.
- Teras 2: Ekonomi (Ketua Kluster: Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri; Sekretariat: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri – MITI) Memacu produktiviti dan pertumbuhan bagi meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi dan perdagangan digital serantau melalui produk “Made by Malaysia”, adaptasi teknologi dalam Sektor Pertumbuhan dan Nilai Tinggi (HGHV), serta merealisasikan potensi data, aset digital dan Harta Intelek (IP).
- Teras 3: Infrastruktur (Ketua Kluster: Menteri Komunikasi; Sekretariat: Kementerian Komunikasi – KK) Melonjakkan ketersambungan internet yang berkualiti di seluruh negara serta membangunkan infrastruktur digital masa hadapan yang mampan (termasuk pusat data, pengkomputeran awan, dan bandar pintar).
- Teras 4: Bakat (Ketua Kluster: Menteri Sumber Manusia; Sekretariat: Kementerian Sumber Manusia – KESUMA) Memastikan tenaga kerja negara bersedia untuk ekonomi digital melalui kerangka dasar bakat yang menyeluruh, peralihan tenaga kerja yang tangkas, dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bakat digital serantau dan global.
- Teras 5: Masyarakat (Ketua Kluster: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat; Sekretariat: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – KPWKM) UNTUK SIARAN SEGERA Memastikan penglibatan inklusif semua rakyat dalam ekosistem digital melalui penginstitusian Indeks Keterangkuman Digital Malaysia, pemerkasaan komuniti luar bandar, dan penyelesaian digital berimpak sosial.
- Teras 6: Kepercayaan dan Keselamatan (Ketua Kluster: Menteri Digital; Sekretariat: Kementerian Digital – KD) Mengimbangi antara keselamatan digital dan keperluan inovasi melalui pengoperasian Suruhanjaya Data Negara serta pembangunan Strategi Kepercayaan Digital Negara 2026 – 2030.
- Teras 7: Inovasi (Ketua Kluster: Menteri Sains, Teknologi & Inovasi; Sekretariat: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi – MOSTI) Memperkukuh rantaian inovasi daripada peringkat penyelidikan hingga ke pengkomersialan melalui ekosistem penyelidikan, .pembangunan, pengkomersialan, Inovasi dan ekonomi (R, D, C, I & E) yang mantap bagi menyokong peralihan negara menjadi pencipta teknologi digital.
Gobind Singh Deo, Menteri Digital mengatakan bahawa pelancaran pelan MD2030 memperlihatkan Malaysia kini sedia untuk beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada sebuah negara pengeluar inovasi digital yang disegani. “Sebagai kementerian peneraju, Kementerian Digital bukan sahaja memikul tanggungjawab untuk mencapai sasaran ekonomi yang holistik, tetapi kami komited memastikan transformasi ini dibina di atas asas kepercayaan, keselamatan data dan tadbir urus yang utuh.”
Tiga pihak yang dijangka akan mendapat manfaat penuh daripada kejayaan pelaksanaan pelan MD2030 termasuklah:
- Rakyat: Membina kesiapsiagaan AI dan memupuk keterangkuman digital bagi meningkatkan kualiti hidup, meluaskan akses perkhidmatan, serta melahirkan bakat masa hadapan yang tangkas.
- Perniagaan: Meningkatkan produktiviti dan daya saing syarikat tempatan melalui inovasi termaju demi menembusi pasaran baharu dan global.
- Kerajaan: Mewujudkan tadbir urus yang kos efektif, cekap, telus, dan dipacu data untuk perkhidmatan awam digital yang lancar.
Selain daripada pelbagai kementerian kerajaan Malaysia, Pelan MD2030 juga dilihat akan melibatkan sejumlah badan-badan lain seperti Pejabat AI Kebangsaan, MyGovTech, CyberSecurity Malaysia, MyDIGITAL Corporation dan MYCentre4IR untuk memastikan pelan ini berjaya.




