Pelancaran SpaceX Starship Gagal Lagi Selepas Roket dan Kapal Angkasa Meletup

TechnologyDigital
28 May 2025 • 10:39 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Masa depan manusia mendarat semula di bulan, membina habitat di permukaannya dan kemudian mengembara ke Marikh menjadi sedikit kelam pagi ini selepas sebuah lagi pelancaran kapal angkasa Starship berakhir dengan kegagalan total.

Pelancaran Starship yang kesembilan ini gagal selepas roket Super Heavy yang sepatutnya kembali mendarat ke bumi meletup ketika dalam fasa mengurangkan kelajuan sebelum mendarat di permukaan Teluk Mexico. Roket Super Heavy yang digunakan hari ini ialah yang pertama digunakan semula dengan ia sebelum ini digunakan untuk pelancaran Starship ke tujuh.

image is not available

Starship berjaya dihantar ke orbit bumi rendah untuk melancarkan 8 dami satelit Starlink. Walaubagaimanapun, pintu kargo Starship gagal berfungsi menyebabkan percubaan pertama ini dibatalkan. Kemudian kebocoran dikesan pada tangki bahan api Starship menyebabkan ian hilang kawalan sebelum pecah sekitar Lautan Hindi dalam perjalanan pulang ke bumi.

Pelancaran hari ini ialah yang ketiga dilakukan pada tahun 2025. Kesemua pelancaran berakhir dengan kegagalan. Dua pelancaran sebelum ini berakhir dengan Starship meletup di ruang udara Turk and Caicos menyebabkan penerbangan komersil terpaksa dilencongkan.

image is not available

Starship masih gagal memenuhi sasaran ujian yang perlu dilakukan sebelum ia boleh digunakan untuk Misi Artemis III menghantar angkasawan kembali ke bulan. Misi Artemis III telahpun ditangguhkan ke 2027 oleh NASA berikutan kegagalan SpaceX.

Ia juga sepatutnya sudah melakukan misi Projek Dear Moon yang membawa pelancong yang ditaja bilionwan Yusaku Maezawa mengelilingi bulan. Selepas setahun ditangguh, Maezawa membatalkan misi tahun lalu.