Pelancong berbelanja tinggi lonjak sektor peruncitan

Business & Finance
27 Jul 2026 • 8:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelancong berbelanja tinggi lonjak sektor peruncitan

PETALING JAYA: Malaysia memasuki fasa baharu pertumbuhan industri pelancongan dengan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelancong berkualiti yang mempunyai kuasa perbelanjaan tinggi, sekali gus dijangka merancakkan pendapatan sektor peruncitan, makanan dan minuman (F&B), hospitaliti serta pelancongan kesihatan.

BIMB Securities berkata, perubahan strategi itu menandakan penilaian terhadap prestasi sektor pelancongan tidak lagi hanya bergantung kepada jumlah ketibaan pelancong, sebaliknya lebih tertumpu kepada nilai perbelanjaan yang dijana sepanjang mereka berada di negara ini.

“Sehingga Mei 2026, Malaysia merekodkan 10.7 juta ketibaan pelancong asing, meningkat 1.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong peningkatan pelawat dari China, India dan Indonesia.

“Perubahan komposisi pe­lancong itu mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Singapura, sekali gus meningkatkan daya tahan industri pelancongan negara terhadap sebarang ketidaktentuan ekonomi luar.

“Apabila kadar pertumbuhan ketibaan pelancong dijangka lebih sederhana pada separuh kedua tahun ini, pelabur perlu memberi perhatian kepada sektor yang menerima manfaat daripada perbelanjaan tinggi pelancong,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut BIMB Securities, trend semasa menunjukkan Malaysia semakin berjaya menarik pelancong yang berbelanja lebih tinggi setiap hari, sekali gus mengubah landskap industri pelancongan kepada pertumbuhan yang dipacu nilai.

Katanya, kategori membeli-belah kekal menjadi penyumbang terbesar kepada hasil pelancongan dengan sumbangan sebanyak 36.1 peratus, diikuti sektor F&B sebanyak 15.9 peratus.

“Perkembangan ini meletakkan aset amanah pelaburan hartanah (REIT), khususnya yang memiliki pusat membeli-belah utama seperti Suria KLCC, Mid Valley Megamall dan Sunway Pyramid pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pelancong antarabangsa.

“Selain itu, syarikat peruncitan seperti Padini Holdings Bhd. dan Poh Kong Holdings Bhd. yang menawarkan produk premium serta barangan mewah turut dijangka mendapat limpahan pertumbuhan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, BIMB Securities melihat pelancongan kesihatan sebagai pemacu pertumbuhan baharu yang lebih mampan, selepas sektor itu menjana pendapatan sebanyak RM3.3 bilion pada tahun lalu.

Firma berkata, seramai 1.8 juta pelancong kesihatan direkodkan, dengan permintaan terhadap rawatan perubatan disifatkan lebih stabil kerana didorong oleh keperluan dan kurang dipengaruhi keadaan ekonomi.

Sehubungan itu, BIMB Securities berpandangan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta seperti KPJ Healthcare Bhd. dan IHH Healthcare Bhd. berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan pertumbuhan sektor berkenaan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada peningkatan jumlah ketibaan pelancong. – UTUSAN

The post Pelancong berbelanja tinggi lonjak sektor peruncitan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved