Pelancong Enggan Bayar Ganti Rugi Motosikal Sewa Di Langkawi, Tuan Kedai Tampil Jelaskan Situasi Sebenar

LocalTravel
7 Jan 2026 • 6:11 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

LANGKAWI – Tindakan seorang pelancong wanita yang didakwa enggan membayar ganti rugi selepas merosakkan motosikal sewa di Pulau Langkawi mengundang kecaman ramai warganet.

Menerusi satu video yang dikongsi di TikTok oleh pemilik akaun @Hayes Ryan, lelaki berkenaan memaklumkan motosikal yang disewa wanita tersebut mengalami beberapa kerosakan selepas terjatuh, namun pelancong itu enggan bertanggungjawab.

Menurutnya, kerosakan melibatkan calar pada badan motosikal serta bahagian fork yang bengkok ke sebelah kiri dengan anggaran kos pembaikan sekitar RM400.

“Dia jatuhkan motosikal, dia calarkan dan fork bengkok ke sebelah kiri. Jadi, semua sekali anggarkan RM400. Lepas itu dia tak mahu bayar, dia cakap banyak. Aku cakap harga ini sebenarnya agak murah, kalau kedai lain mungkin minta dia ganti RM1,000. Tapi dia ‘cut’ video tu, bagi nampak macam aku minta RM1,000,” jelasnya.

Didakwa Putar Belit Fakta Di Media Sosial

Dalam masa sama, lelaki tersebut turut menjawab dakwaan segelintir pihak yang menyangka dia merupakan warga asing hanya kerana fasih berbahasa Inggeris.

“Aku boleh cakap bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Rusia pun boleh. Aku orang Malaysia, anak jati Pulau Langkawi, Kedah. Jangan terperdaya sangat dengan loghat aku sampai ingat aku orang luar masuk kerja dekat Malaysia,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen pula, pelbagai reaksi diluahkan warganet yang rata-ratanya tampil mempertahankan lelaki berkenaan. Ada yang berseloroh meneka asal usulnya seperti “Bang lahir kat Texas ke?” selain ada yang menyebut “Melayu Kedah tu,” merujuk kepada pengakuannya sebagai anak jati Langkawi.

Tidak kurang juga yang terhibur dengan gaya percakapannya, menyamakan nada suaranya dengan watak dua penjahat dalam filem Home Alone, sehingga mengimbau nostalgia penonton.

Malah, segelintir warganet berseloroh mencadangkan agar lelaki itu membuka kelas bahasa Inggeris kerana kefasihannya. Dalam masa sama, ada juga yang menjelaskan isu sebenar kepada penonton lain, mendakwa pelancong wanita tersebut cuba bermain watak mangsa dan enggan membayar ganti rugi RM400, sedangkan jumlah RM1,000 hanya disebut sebagai perbandingan jika di kedai lain.

Selain itu, penampilan dan gaya lelaki tersebut turut disamakan dengan watak Joe Goldberg daripada siri You, yang kemudiannya disambut santai oleh Hayes Ryan dengan mengakui dirinya peminat pelakon Penn Badgley.

Isu ini sekali lagi mencetuskan perbincangan dalam kalangan warganet mengenai tanggungjawab penyewa terhadap barangan sewaan, khususnya melibatkan pelancong di destinasi tumpuan seperti Pulau Langkawi. – The Malaysian Update

The post Pelancong Enggan Bayar Ganti Rugi Motosikal Sewa Di Langkawi, Tuan Kedai Tampil Jelaskan Situasi Sebenar appeared first on The Malaysian Update.