Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tak dinafikan selain pengangkutan awam, pelancong yang berkunjung ke Malaysia juga banyak menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi memudahkan mereka bergerak ke sesuatu destinasi.
Pelancong AS jadi perhatian selepas enggan bayar pemandu e-hailing pulangkan kamera yang tertinggal dalam kereta
Terbaharu, seorang pelancong dipercayai dari Amerika Syarikat (AS) telah menjadi perhatian rakyat Malaysia selepas dia mendakwa diugut dan ‘diserang’ oleh pemandu e-hailing kerana tidak membayar RM50 seperti diminta sewaktu pemandu itu memulangkan kameranya yang tertinggal di dalam kenderaan tersebut.
Pelancong lelaki berkenaan menerusi satu video di Facebook miliknya berkata dia telah menaiki kenderaan e-hailing tersebut untuk ke sebuah destinasi. Selepas keluar daripada kereta tersebut dia kemudian menyedari kameranya tertinggal dalam kenderaan itu.
Pemandu e-hailing maklumkan ada caj tambahan untuk pulangkan kamera yang bernilai RM22,305, Pelancong cuma tawar RM20
Pelancong itu kemudian cuba menghubungi semula pemandu berkenaan beberapa kali bagi mendapatkan kameranya. Pemandu itu lalu mengatakan dia boleh memulangkan semula kamera itu namun berserta caj tambahan.
Kata pelancong tersebut kamera dan lensanya berharga sekitar AS$5,500 (RM 22,305.53). Namun sebaik pemandu itu sampai ke destinasi terbabit, pelancong berkenaan hanya menghulurkan wang kertas RM20.
Menerusi kenyataan pada video, pelancong itu mengatakan pemandu terbabit meminta caj sebanyak RM50.
Namun menurutnya jumlah dibayar sewaktu menaiki e-hailing tersebut ke destinasi adalah sekitar RM13 dan menyifatkan jumlah RM20 diberikan adalah adil.
Pelancong dakwa pemandu e-hailing seperti nak perdayakannya bila minta RM50
“Saya juga pernah menaiki kenderaan e-hailing lebih daripada sejam dan ia tidak sampai RM50, malah pemandu itu tidak menghiraukan saya untuk masa yang lama, dan meminta jumlah itu, saya rasa dia seperti cuba untuk memperdayakan saya,” kata pelancong terbabit.
Menerusi video yang tular, kelihatan pemandu e-hailing itu menyerahkan kamera milik pelancong berkenaan dan memaklumkan caj yang dikenakan adalah RM50 kerana dia datang dari jauh sewaktu pelancong itu menyerahkan wang RM20 kepadanya.
Pelancong itu kemudian membalas yang pemandu tersebut tidak menjawab panggilannya. Pemandu itu menjelaskan dia tidak boleh mengangkat telefon atau membalas mesej kerana mempunyai penumpang.
Pemandu itu kemudian keluar daripada kenderaan dan bertegas kepada pelancong tersebut untuk tidak cuba menipunya. Keadaan kemudian menjadi tegang dan pemandu itu mendakwa pelancong berkenaan cuba menipunya.
Malah kelihatan orang ramai berada di kawasan itu turut cuba menenangkan keadaan.
View on Threads
Netizen Malaysia berang pelancong AS enggan bayar pemandu e-hailing RM50 selepas datang jauh dari KL ke Klang
Hantaran itu kemudiannya menjadi tular dan mengundang rasa kurang senang di kalangan netizen Malaysia.
Ini kerana, ramai berpendapat pemandu itu berhak meminta caj RM50 tersebut kerana dipercayai datang dari Kuala Lumpur ke Klang demi memulangkan semula kamera tersebut.
Ada juga yang berpendapat caj tersebut adalah berpatutan dengan masa, minyak, tol dan juga usaha pemandu e-hailing berkenaan.
Malah pemandu itu juga bersikap jujur apabila memulangkan kamera yang mahal itu meskipun ia jauh.
Tidak kurang ada yang berpendapat pelancong itu seperti sengaja mencetuskan provokasi untuk mendapatkan perhatian.
Bahkan ada yang berpendapat pemandu itu di dalam video secara jelas telah memaklumkan kepada pelancong berkenaan mengenai persetujuan bayaran RM50 ketika dihubungi sebelum ke Kuala Lumpur dari Klang untuk memulangkan kamera.
Menerusi semakan kami di akaun media sosial pelancong berkenaan, video itu telah pun diturunkan.
Walau bagaimanapun netizen Malaysia masih membanjiri ruangan komen pada hantarannya yang lain mengenai insiden dengan pemandu e-hailing terbabit.
Ada juga yang mengkritiknya kerana sanggup membayar RM100 untuk servis memotong rambut yang sebenarnya hanya bernilai RM15, tetapi berkira untuk menghulur RM50 sebagai caj tambahan atau upah kepada pemandu e-hailing atas usahanya memulangkan kamera berharga lebih RM22,000 yang tertinggal di dalam kereta.
“Jadi awak adalah lelaki yang enggan berikan RM50?”
![Image from: Pelancong Tertinggal Kamera RM20k Dalam E-Hailing, Tapi Kedekut Nak Hulur RM50 Selepas Pemandu Gigih Patah Balik & Pulangkan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/pelancong-AS-1.jpg)
“Pelancong Amerika Syarikat yang tiada duit. Rakyat Malaysia pulangkan kamera yang dia tertinggal dalam kereta dan berikan RM20 sebagai tip”
![Image from: Pelancong Tertinggal Kamera RM20k Dalam E-Hailing, Tapi Kedekut Nak Hulur RM50 Selepas Pemandu Gigih Patah Balik & Pulangkan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/pelancong-AS-2-1024x481.jpg)
“Kebanyakan mereka memang penipu dan scammer. Cara pemandu tu cakap awalnya nampak dah ada persetujuan bayar RM50 dalam telefon”
![Image from: Pelancong Tertinggal Kamera RM20k Dalam E-Hailing, Tapi Kedekut Nak Hulur RM50 Selepas Pemandu Gigih Patah Balik & Pulangkan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/pelancong-AS-4.jpg)
“Nah RM20 untuk Klang ke Seputeh sumpah tak berbaloi..”
![Image from: Pelancong Tertinggal Kamera RM20k Dalam E-Hailing, Tapi Kedekut Nak Hulur RM50 Selepas Pemandu Gigih Patah Balik & Pulangkan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/pelancong-AS-5.jpg)
“Netizen jalankan kerja ajar warga asing biadap”
![Image from: Pelancong Tertinggal Kamera RM20k Dalam E-Hailing, Tapi Kedekut Nak Hulur RM50 Selepas Pemandu Gigih Patah Balik & Pulangkan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/pelancong-AS-6.jpg)

