Pelancongan Sabah jana RM14.4 bilion tahun lepas

27 Nov 2026 • 4:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pelancongan Sabah jana RM14.4 bilion tahun lepas

Kota Kinabalu: Industri pelancongan Sabah menjana nilai tambah RM14.4 bilion pada 2025, meningkat 5.6 peratus dan menyumbang 12.3 peratus kepada ekonomi negeri berbanding 11.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkata, prestasi itu mencerminkan peranan berterusan sektor pelancongan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di Sabah.

Beliau berkata, penerbitan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah Sabah 2025 merupakan inisiatif Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) dengan kerjasama strategik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menyediakan data lebih menyeluruh dan berwibawa mengenai sektor pelancongan negeri.

“Ini langkah penting bagi kementerian dalam memperkukuh perancangan dan penggubalan dasar berasaskan data, selain membolehkan kita mengukur dengan lebih tepat impak sebenar industri pelancongan terhadap ekonomi negeri dan kehidupan rakyat.

“Kejayaan sektor pelancongan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah ketibaan pelancong semata-mata, tetapi juga melalui pendapatan yang dijana industri, peluang pekerjaan yang diwujudkan dan sejauh mana sektor ini meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Mengikut laporan DOSM, perdagangan runcit merupakan penyumbang terbesar kepada Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (GVATI), iaitu sebanyak 45.6 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan serta makanan dan minuman sebanyak 30 peratus.

Penggunaan pelancongan domestik turut meningkat 14.2 peratus kepada RM13.4 bilion pada 2025 berbanding RM11.7 bilion pada 2024.

Perbelanjaan pelancongan masuk meningkat 20.8 peratus kepada RM7.5 bilion, manakala perbelanjaan pelancongan domestik naik 6.8 peratus kepada RM5.9 bilion.

Jafry berkata, industri berkaitan pelancongan menyediakan pekerjaan kepada 415,100 orang pada 2025, meningkat 7.1 peratus berbanding 387,600 orang pada tahun sebelumnya.

“Hampir seorang daripada setiap empat individu yang bekerja di Sabah terlibat dalam industri berkaitan pelancongan. Ini jelas menunjukkan bahawa pelancongan bukan sekadar sebuah industri, malah menjadi sumber pendapatan dan mata pencarian ratusan ribu rakyat Sabah.

“Angka ini turut meningkatkan keyakinan Kerajaan Negeri dan pemain industri untuk terus memperkukuh pelaburan, pembangunan produk pelancongan serta penyertaan komuniti tempatan,” katanya.

Jafry turut merakamkan penghargaan kepada DOSM atas kerjasama dalam melaksanakan inisiatif berkenaan.

Beliau berkata, dapatan laporan itu akan menjadi rujukan penting kepada KePKAS dalam merangka strategi pembangunan pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

“Komitmen kita adalah memastikan industri pelancongan Sabah terus berkembang secara mampan, berdaya saing dan inklusif.

“Seiring pertumbuhan industri pelancongan Sabah, ekonomi negeri perlu menjadi lebih kukuh dan rakyat juga mesti menerima manfaatnya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved