
Kota Kinabalu: Sektor pelancongan terus menjadi pemacu utama ekonomi Sabah, khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan, memperkasa komuniti luar bandar dan memacu pembangunan mampan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Pada 2023, sektor pelancongan menyumbang sebanyak RM13.1 bilion kepada ekonomi Sabah dan menyokong lebih 380,000 pekerjaan merentas pelbagai sektor.
“Angka ini mencerminkan kekuatan industri pelancongan negeri ini serta impaknya terhadap kehidupan rakyat dan komuniti setempat,” katanya semasa pelancaran Asean Travel Exchange (Atex) 2025 di sini, Khamis.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Hajiji turut memuji perkembangan pelancongan berasaskan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, yang menampilkan pengalaman tempatan autentik yang dikendalikan sendiri oleh penduduk kampung.
“Pada 2024 sahaja, sektor ini menjana pendapatan sebanyak RM7 juta daripada 18 daerah aktif,” katanya.
Beliau mengulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong sektor ini melalui pembangunan infrastruktur dan pendigitalan.
“Kita sedang menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, menambah baik akses jalan ke destinasi luar bandar serta memperluas penggunaan platform digital bagi pengurusan dan promosi pelancongan dengan lebih berkesan,” katanya.
Menurut Hajiji, Sabah kini berada di landasan tepat untuk membina ekonomi pelancongan masa depan yang berdaya tahan, berpaksikan kelestarian, teknologi dan identiti budaya.
“Visi kita adalah menjadikan Sabah sebagai hab kedamaian, sebuah negeri di mana pembangunan berjalan seiring dengan pemeliharaan alam, warisan dan keharmonian,” katanya.
Beliau menyifatkan Atex 2025 sebagai titik tolak penting bagi Sabah bukan sahaja dalam memperkenalkan negeri ini kepada pasaran serantau, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam membentuk masa depan pelancongan Asean.
Acara ini, yang dianjurkan oleh Persatuan Pelancongan Asean (Aseanta), Persekutuan Persatuan Pengembaraan Asean (Fata) dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), menghimpunkan lebih 400 delegasi termasuk lebih 200 pembeli antarabangsa dari 15 negara.
Atex 2025 merupakan platform perdagangan pelancongan pertama yang diketuai oleh sektor swasta di bawah payung Asean, dan dilihat sebagai landasan strategik untuk memperkukuh kerjasama pelancongan serantau dan rangkaian perniagaan.


