Adalah satu masalah besar apabila perkhidmatan yang asalnya percuma kemudian memerlukan bayaran untuk diakses. Namun, disebabkan ia sudah menjadi kebiasaan banyak perkhidmatan dan aplikasi harian digunakan sekarang memerlukan langganan. Masalah terbaru adalah apabila lepas membayar, pengguna masih disajikan iklan sedangkan ia sepatutnya tidak. Tahun lepas ia berlaku kepada pelanggan YouTube Premium dan tahun ini pelanggan Spotify pula melaporkan isu yang sama.

Melalui laman komuniti Spotify, sepanjang seminggu lepas sehingga ke hari ini pelanggan Spofiy Premium mendengar dan melihat iklan muncul walaupun akaun masing-masing aktif dan telah membayar langganan. Iklan dilihat muncul pada podsiar dalam bentuk imej kenit sebelum dan selepas mendengar. Iklan dalam bentuk audio juga dikatakan dapat didengari.

Di laman komuniti ini, Spotify telah mengaku dan menyedari akan masalah ini dan menyatakan pasukan juruteknik mereka kini dalam siasatan dan akan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Adakah anda pelanggan Spotify Premium yang turut mendengar dan melihat iklan?
