Pelanggan terkejut dicaj RM50 untuk seekor sotong, KPDN Sabah tuntut penjelasan daripada pihak restoran

21 Dec 2023 • 1:50 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang pengguna terkejut apabila dikenakan caj sebanyak RM50 untuk seekor sotong, ketika makan di sebuah restoran di Kota Kinabalu Sabah.

Berdasarkan gambar resit yang dikongsikan, pengadu dikenakan caj bayaran sebanyak RM75 bagi sepinggan nasi bersama beberapa jenis lauk termasuk sotong dan juga dua air minuman.

“Hati-hati kamu kalau makan sini guys. Pandai tembak harga. Bukan saya seorang saja yang kena, yang lain pun kena juga.

“Kepada yang belum pernah datang sini, kalau boleh janganlah datang. Kosong poket kamu nanti,” kata pengadu dalam hantaran yang tular di media sosial.

Susulan ‘aduan’ itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Sabah telah datang ke restoran terbabit untuk membuat tinjauan.

Pemeriksaan mendapati, premis itu tidak memaklumkan harga makanannya dengan jelas, terutama dari segi saiz sotong manis di mana peniaga sepatutnya meletakkan berapa harga untuk sotong manis bersaiz kecil, sederhana dan besar.

Ekoran itu, tindakan telah diambil mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan pengguna.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah, Zulfamy Mat Udi, juga memberi tempoh dua hari kepada pihak restoran untuk memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

Para pengguna juga dinasihatkan untuk bertanya atau memeriksa harga makanan terlebih dahulu sebelum makan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.