Pelantikan Ketua Audit Negara Ikut Prosedur Perlembagaan – Fahmi

LocalPolitics
25 Jul 2025 • 5:33 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pelantikan Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ketua Audit Negara dibuat mengikut peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, jelas Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurut laporan Berita Harian, perkara itu diperjelaskan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

image is not available

“Ketua Setiausaha Negara memaklumkan bahawa pelantikan tersebut mematuhi segala prosedur seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak menimbulkan sebarang isu dari segi perundangan.

“Beliau juga menjelaskan kepada Kabinet bahawa Datuk Seri Wan Suraya telah meletakkan jawatan sebagai penjawat awam sebaik sahaja beliau menerima tawaran sebagai Ketua Audit Negara,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN), ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, mempertikaikan pelantikan Wan Suraya yang didakwa masih berada dalam perkhidmatan awam ketika dilantik.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi memperjelas isu tersebut secara menyeluruh.

image is not available

Foto: Berita Harian

Untuk rekod, Wan Suraya dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa 13 Jun 2023. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Integriti Malaysia (IIM), serta menyandang jawatan Ketua Setiausaha di Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Usahawan.

Selain itu, beliau turut mempunyai pengalaman luas dalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), termasuk sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi & Pemantauan).

Sumber: Berita Harian (Mohd Iskandar Ibrahim)