Pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 didakwa tidak sah

LocalPolitics
27 Jun 2026 • 6:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 didakwa tidak sah
Kenyataan media waris Klana Perut Hulu dan Perut Hilir membantah pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11.

SEREMBAN - Waris Klana Perut Hulu dan Perut Hilir membantah pelantikan Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 kerana didakwa tidak sah.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, mereka mendakwa, proses pelantikan tersebut tidak mematuhi adat istiadat Luak Sungei Ujong sebagaimana yang telah digariskan dalam aturan pusaka Teromba.

"Pada pendirian kami, pelantikan Undang hendaklah dilaksanakan mengikut susunan adat yang telah diwarisi secara turun-temurun dan tidak boleh menyimpang daripada peraturan adat yang menjadi asas kepada Institusi Undang Luak Sungei Ujong.

"Adalah dimaklumkan bahawa, Waris Kelana Perut Hulu dan Waris Kelana Perut Hilir serta diperkukuhkan lagi bersama Waris di Ayer dan Waris di Darat, menzahirkan rasa terkilan terhadap pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11," katanya.

Mereka juga berpendirian bahawa mengikut aturan adat Luak Sungei Ujong, pengisytiharan atau pemasyhuran pelantikan Dato' Klana hendaklah dibuat oleh Dato' Shahbandar Sungei Ujong sebagai pemegang kuasa adat yang mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan istiadat tersebut.

Namun kata mereka, kewibawaan beliau untuk bertindak secara berkecuali dalam urusan tersebut adalah dipersoalkan disebabkan terlibat dan menyokong pengisytiharan yang mempertkaikan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

"Oleh yang demikian, peranan Dato’ Seri Maharaja Diraja Zulkepley Dahalan sebagai Dato' Lembaga terkanan dalam lingkungan Balai Dato’ Shahbandar wajar dirujuk bagi memastikan kelangsungan urusan adat menurut Teromba yang sah.

"Pemegang jawatan Dato' Andulika Mandulika juga tidak mempunyai kelayakan dan tidak pernah digazetkan mengikut aturan adat istiadat Sungei Ujong untuk memasyhurkan pelantikan tersebut, tambahan pula beliau didakwa telah dipecat daripada jawatannya," kata mereka.

Justeru, mereka berpendirian bahawa sebarang pemasyhuran atau pengesahan yang dibuat olehnya tidak mempunyai kuasa dan keabsahan menurut adat Luak Sungei Ujong.

Malah mereka turut mendakwa bahawa pelantikan Muhammad Faris tidak mendapat kebulatan suara daripada Dato'-Dato' Lembaga Adat.

"Persetujuan Dato'-Dato' Lembaga Adat merupakan syarat penting dalam proses pelantikan Undang mengikut adat yang diamalkan di Luak Sungei Ujong.

"Selain itu, tidak memperoleh persetujuan sebulat suara daripada Ibu-Ibu Soko serta Waris Klana Perut Hulu dan Waris Kelana Perut Hilir yang berhak mengikut adat," kata mereka.

Sehubungan itu, mereka meminta pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 diteliti semula.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved