
KUALA LUMPUR 10 Dis – Pelantikan Rider Gate Sdn Bhd (RGSB) sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk beberapa transaksi tidak akan mengganggu atau menjejaskan sistem MyJPJ, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Sebaliknya, beliau menegaskan syarikat itu hanya memainkan peranan sebagai pengutip bayaran yang sah bagi pihak JPJ sahaja.
“Ini sama sahaja seperti syarikat lain yang diberi tanggungjawab untuk mengutip pembayaran tertentu bagi pihak agensi atau jabatan kerajaan yang lain.
"Mereka hanya menjalankan tugas sebagai ejen kutipan sahaja. Mereka tidak ada kaitan dengan MyJPJ dan tidak akan mengganggu, menggantikan atau mengambil alih MyJPJ," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Ng Keng Heng yang ingin tahu penjelasan di sebalik pelantikan tersebut dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini.
Pada 5 Disember 2025, RGSB telah dilantik sebagai ejen kutipan JPJ dan di bawah perjanjian tersebut, RGSB akan menyediakan perkhidmatan meliputi pendaftaran pemindahan hak milik kenderaan bermotor dan pembaharuan lesen, serta memudahkan pembayaran saman elektronik.

Pelantikan itu akan berlangsung selama dua tahun dari tarikh permulaan perkhidmatan JPJ di platform Rider Gate.
Rider Gate adalah platform digital yang dibangunkan anak syarikat Ramssol Group Berhad, RAMS Autotech yang menguruskan transaksi motosikal terpakai.
Pelantikan Rider Gate sebagai ejen kutipan JPJ bagaimanapun menerima kecaman hebat dari banyak pihak yang mempertikaikan keputusan itu memandangkan jabatan tersebut sudah pun mempunyai aplikasi rasmi MyJPJ yang terbukti berkesan dalam melaksanakan pelbagai transaksi selama ini.
Terdahulu, Hasbi berkata, kerajaan melalui JPJ telah memperkenalkan pelbagai inisiatif digital termasuk pemberitahuan tarikh luput lesen, perkhidmatan pembaharuan lesen, dan pembayaran dalam talian kepada pengguna.
Beliau berkata, semua inisiatif itu adalah untuk meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko kesilapan manusia.
Menjawab soalan asal daripada Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai penggunaan teknologi moden dalam penguatkuasaan undang-undang pengangkutan pula, Hasbi berkata penggunaan kamera badan (BWC) bertujuan meningkatkan integriti dan ketelusan operasi penguatkuasaan di lapangan.
Beliau menambah bahawa JPJ juga akan terus mengendalikan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), selain cadangan pelaksanaan High-Speed Weigh-in-Motion (HSWIM) untuk mengesan kesalahan muatan berlebihan dengan lebih berkesan. - DagangNews.com


